Berita dan Gambar oleh INASIS TNB UUM
SINTOK, 6 November 2026 – Inapan Siswa (INASIS) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh jaringan antarabangsa menerusi penganjuran Program Global Youth Leadership & Cultural Exchange (G-LACE) 2026: INASIS TNB x UNIKA Atma Jaya, Indonesia yang berlangsung dari 24 Oktober 2026 hingga 6 November 2026. Program mobiliti ini dianjurkan secara kolaboratif oleh Biro Komuniti, Integrasi dan Antarabangsa (BKIA) INASIS TNB bersama Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) UUM serta Persatuan Psikologi & Kaunseling (PERKAP).
Program mobiliti antarabangsa berasaskan kaedah hibrid ini melibatkan penyertaan 10 mahasiswa INASIS TNB UUM serta 7 mahasiswa dan 3 pegawai pengiring dari Universitas Katolik Indonesia (UNIKA) Atma Jaya, Indonesia. Delegasi tersebut diketuai oleh Encik Laurentius Sandi Witarso, M.Psi., Psikolog, bersama-sama Puan Aura Amalia H, S.M. Penganjuran program berimpak tinggi ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 17: Perkongsian demi Mencapai Matlamat) menerusi usaha memperkasakan kemahiran kepimpinan belia, memperluas jaringan akademik antarabangsa serta memupuk kefahaman silang budaya antara kedua-dua institusi.
Fasa awal program dimulakan menerusi perbincangan secara dalam talian pada 24 hingga 31 Oktober 2026 bagi menyelaraskan aktiviti yang dirancang. Ketibaan rasmi delegasi di EDC-UUM pada 1 November 2026 diraikan menerusi Majlis Makan Malam Sambutan (Welcoming Dinner).


Pada 2 November 2026, para peserta mengadakan lawatan rasmi ke Anjung Tamu UUM bagi mengikuti sesi penerangan korporat dan pertukaran cenderahati, sebelum meneruskan lawatan akademik ke SAPSP. Para peserta turut menyertai aktiviti rekreasi kampus seperti berkayak di Tasik UUM, memanah dan berbasikal, selain mengikuti Bengkel Kulinari Tradisional Melayu yang memberikan pendedahan tentang penyediaan kuih onde-onde.


Program diteruskan pada 3 November 2026 menerusi sesi Knowledge Transfer dan lawatan ke beberapa lokasi sekitar kampus, termasuk Muzium Pengurusan UUM, U-Assist, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Taman Rusa UUM, Pusat Sukan dan Varsity Mall. Pada sebelah malam, para peserta berpeluang menyaksikan acara perbarisan dan Malam Penutupan KASUMA yang berlangsung meriah.
Pada 4 November 2026, program diteruskan dengan Syarahan Umum oleh pensyarah UNIKA Atma Jaya sebelum disusuli Majlis Penutupan Program dan Penyampaian Sijil.
Pensyarah pengiring dari UNIKA Atma Jaya, Encik Laurentius Sandi Witarso (Encik Andi), berkata, “Kami amat tersentuh dan gembira dengan kehangatan layanan serta hospitaliti hebat yang diberikan oleh pihak INASIS TNB dan UUM sepanjang kami berada di sini. Kerjasama yang terjalin ini sangat bermakna dan kami berharap ikatan silaturahim serta kolaborasi strategik antara UNIKA Atma Jaya dengan UUM dan INASIS TNB ini akan terus berkekalan dan tidak putus pada masa akan datang.”
Beliau turut menekankan bahawa program mobiliti antarabangsa ini memberikan impak positif dalam memperluas pandangan dunia (worldview) mahasiswa serta meningkatkan kemahiran kepimpinan dan keyakinan diri mereka. Tambah beliau, persekitaran pembelajaran interaktif dan pertukaran budaya sepanjang program berlangsung turut memupuk sikap saling menghormati serta memperkukuh hubungan antara kedua-dua institusi.

Sementara itu, Pengetua INASIS TNB, Encik Mohd Fadzli bin Suhaimi, berkata, “Program mobiliti antarabangsa seperti G-LACE 2026 bukan sekadar pendedahan kepada budaya dan persekitaran universiti yang berbeza, malah menjadi platform utama untuk membina persahabatan sejati, memperluas jaringan antarabangsa serta mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan.”
Beliau turut merakamkan penghargaan atas kejayaan penganjuran program mobiliti ini. Menurut beliau, pendidikan dan pembangunan sahsiah mahasiswa di kolej kediaman tidak seharusnya terhad kepada bidang akademik semata-mata, sebaliknya perlu diimbangi dengan aktiviti kesukarelawanan, kepimpinan global dan kebudayaan. Beliau berharap agar jalinan persahabatan yang terbina bersama delegasi UNIKA Atma Jaya, Indonesia terus berkekalan serta membuka ruang kepada kerjasama strategik antara kedua-dua institusi pada masa hadapan.
Penganjuran Program G-LACE 2026 membuktikan komitmen berterusan INASIS TNB UUM dalam menyediakan platform pembangunan mahasiswa yang berdaya saing di peringkat global serta memantapkan identiti kolej kediaman sebagai pusat kecemerlangan sahsiah dan kepimpinan.













