Advertisement

KamPri (Life Coaching) Perkasa Keyakinan Diri dan Kemahiran Komunikasi Mahasiswa USM

Oleh: Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbita BHEPA USM

Pulau Pinang, 18 November 2026 – Inisiatif memperkasa keyakinan diri dan penguasaan kemahiran komunikasi mahasiswa terus diperkukuh menerusi penganjuran Majlis Pelancaran KamPri (Life Coaching) yang berlangsung di Dewan Kembara 1, Desasiswa Indah Kembara, USM kelmarin.

KamPri atau Kami Prihatin merupakan satu inisiatif anjuran bersama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM dengan kerjasama ITD World yang menghimpunkan barisan pelajar tempatan dan antarabangsa dalam usaha melatih keupayaan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris secara lebih berkesan melalui sesi bimbingan (coaching) berstruktur bersama fasilitator berpengalaman.

Ketua Unit Kebajikan BHEPA USM, Puan Siti Meszaida Mohd Ehsan menyeru para peserta agar berani melangkah keluar daripada zon selesa dan tidak takut untuk mencuba sesuatu yang baharu demi perkembangan diri.

“Sasarkan impian setinggi yang anda rasa yakin sepenuhnya sebelum mengejar sesuatu yang baharu. Kadangkala keyakinan itu datang selepas kita mencuba, bukannya sebelum kita mencuba,” katanya.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengasas Bersama KamPri merangkap Pengarah Eksekutif Global Talent & Leadership Development ITD World, Dr. Kathleen Ong.

Selain sesi bimbingan interaktif, majlis turut diserikan dengan slot motivasi khas oleh Pengurus Kejuruteraan Intel, Encik Syafiq Samsi, yang berkongsi perspektif mengenai pembangunan potensi diri, ketahanan mental serta pembentukan kepimpinan masa hadapan dalam kalangan mahasiswa melalui pendekatan unik persembahan langkah silat.

Penganjuran program berimpak tinggi ini bukan sahaja menjadi pemangkin kepada pembentukan mahasiswa yang holistik, berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran pasaran kerjaya global, malah selari dengan komitmen USM dalam menyokong SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat menerusi jaringan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan industri.

Total Views: 3