Advertisement

UUM Perkukuh Kerjasama Industri Melalui Majlis Graduates’ Choice Award (GCA) KE-9 Dan Pertukaran MoU Bersama Talentbank Sdn. Bhd. – MySiswaNow

Berita dan Gambar oleh PPKKG JHEPA UUM

PETALING JAYA, 13 November 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh hubungan strategik bersama industri menerusi penyertaan dalam Majlis Graduates’ Choice Award (GCA) Kali Ke-9 dan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia dengan Talentbank yang berlangsung di Grand Ballroom, Sunway Resort Hotel, pada 13 November lalu.

Delegasi UUM diketuai oleh Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Naib Canselor UUM bersama Dr. Fikriyah Abdullah, Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG). Turut hadir ialah Muhammad Syahmi Iman bin Muhammad Rezal, mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM sesi 2025/2026 yang dilantik oleh Talentbank sebagai Liaison Officer bagi majlis tersebut.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ben Ho, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Talentbank, yang berkongsi perkembangan rangkaian Talentbank yang kini menghubungkan lebih 25,000 majikan dengan lebih 250,000 peluang pekerjaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa GCA mencatatkan hampir satu juta undian pada tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 29 peratus berbanding tahun sebelumnya. Sepanjang sembilan edisi penganjuran, GCA telah merekodkan lebih tiga juta undian, sekali gus mencerminkan peningkatan penglibatan mahasiswa dalam memberikan pengiktirafan kepada majikan pilihan mereka.

Dalam ucapannya, Ben Ho turut menyebut UUM sebagai antara tiga universiti awam, bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang memberikan sokongan terhadap penglibatan mahasiswa dalam GCA. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan universiti dan pasukan kerjaya atas usaha menggalakkan mahasiswa menyertai platform pengiktirafan tersebut.

Majlis yang dirasmikan oleh Ahmad Rizal Adnan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu merupakan platform pengiktirafan penjenamaan majikan yang memberi peluang kepada mahasiswa dan graduan untuk memilih organisasi yang paling dipercayai serta menjadi aspirasi kerjaya mereka.

Pada masa yang sama, GCA turut menjadi wadah penghargaan kepada majikan yang komited menyediakan peluang pekerjaan, latihan industri, bimbingan, pendedahan kerjaya dan pembangunan profesional kepada mahasiswa serta graduan universiti.

Dalam majlis tersebut, Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed diberi penghormatan sebagai Award Presenter bagi menyampaikan pengiktirafan kepada beberapa organisasi korporat terkemuka, termasuk Maybank, Nestlé Malaysia, PlayStation Studios Malaysia dan Ryt Bank.

Sementara itu, Majlis Pertukaran MoU antara UUM dengan Talentbank yang berlangsung pada majlis yang sama menjadi simbol komitmen rasmi kedua-dua pihak dalam memperluas kerjasama strategik, khususnya dalam pembangunan kerjaya dan kesiapsiagaan graduan.

Kerjasama tersebut merangkumi aspek penglibatan majikan, peluasan peluang pekerjaan dan latihan industri, pelaksanaan program pembangunan bakat serta perkongsian maklumat berkaitan pasaran pekerjaan.

Melalui kerjasama ini, UUM berharap hubungan strategik bersama Talentbank dapat terus diperkasakan bagi merapatkan jurang antara keperluan industri dengan kompetensi graduan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memastikan mereka lebih bersedia menghadapi landskap pekerjaan yang semakin dinamik.

Total Views: 2