Advertisement

UUM Galak Budaya Endowmen Alumni Bagi Perkukuh Dana Dan Legasi Kecemerlangan – MySiswaNow

Berita oleh: Zulaidah Mat Said
Gambar oleh: Shamsaimi Ezil

SINTOK, 10 Oktober 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) menyeru alumninya menyumbang kembali kepada alma mater melalui dana endowmen, selaras amalan lazim di universiti luar negara, sekali gus memperkukuh jaringan strategik menerusi Program Alumni Back to Campus 2026 yang berlangsung di Dewan Seminar Pusat Islam, UUM.

Program yang diadakan bersempena Majlis Peluncuran Program Alumni Back to Campus Peringkat Kebangsaan 2026 itu menjadi platform mempertemukan alumni dengan warga universiti, selain membuka ruang perkongsian pengalaman, kejayaan dan inspirasi kepada mahasiswa.

Katanya, budaya menyumbang melalui dana endowmen yang telah lama diamalkan di universiti luar negara wajar dijadikan contoh dalam memperkasakan peranan alumni di Malaysia.

“Sumbangan alumni tidak semestinya berbentuk kewangan semata-mata, sebaliknya boleh diberikan melalui perkongsian kepakaran, masa, pengalaman mahupun sumbangan bukan kewangan (in-kind),” katanya.

Menurutnya, UUM mempunyai lebih 180,000 alumni yang telah mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan awam, sektor swasta dan perniagaan, sekali gus mengharumkan nama universiti.

“Kejayaan alumni bukan sahaja mengangkat nama individu, malah turut mengharumkan nama universiti. Justeru, kita mahu lebih ramai alumni yang berjaya diketengahkan sebagai ikon dan sumber inspirasi kepada mahasiswa.

“Apabila alumni kita mampu mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing, sudah tentu mahasiswa yang sedang menuntut di UUM juga berpotensi mencapai kejayaan yang sama,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada program berkenaan.

Beliau berkata, hubungan erat antara universiti dengan alumni perlu terus diperkukuh bagi memastikan mereka sentiasa dekat dengan institusi yang pernah menjadi tempat menimba ilmu, selain menggalakkan sumbangan dalam pelbagai bentuk.

Menurutnya, jaringan alumni yang kukuh mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan imej UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka.

Program turut diserikan dengan sesi telaah KPT@Alumni UUM, buku bertajuk A Memoir of a Resilience: Beyond Hemophilia, Pain, Courage and Purpose, hasil karya Andry Suhermanto, alumni UUM yang juga seorang penulis dan usahawan berjaya.

Sesi yang dikendalikan oleh Pustakawan Perpustakaan Sultanah Bahiyah UUM, Wan Hanis Kamarudin selaku moderator itu membuka ruang kepada Andry berkongsi kisah perjalanan hidupnya sebagai penghidap hemofilia, termasuk pelbagai cabaran dan keperitan yang ditempuh sehingga berjaya membina kerjaya serta menempa kejayaan pada hari ini.

Menerusi perkongsian penuh inspirasi itu, beliau mengingatkan mahasiswa bahawa kegagalan dan kesukaran merupakan sebahagian daripada proses kehidupan yang perlu dihadapi dengan keberanian, bukannya dijadikan alasan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir memaklumkan bahawa kutipan dana daripada alumni universiti awam telah mencecah kira-kira RM166 juta, sekali gus mencerminkan komitmen dan sokongan berterusan komuniti alumni terhadap pembangunan institusi pendidikan tinggi negara.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Program Alumni Back to Campus Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) dan disiarkan secara langsung menerusi penstriman kepada universiti awam seluruh negara, termasuk UUM.

Menurutnya, sumbangan tersebut membuktikan bahawa alumni bukan sekadar bekas penuntut, sebaliknya merupakan rakan strategik yang berperanan penting dalam memperkukuh hubungan dengan alma mater, membantu pembangunan universiti serta menyokong keperluan dan kebajikan mahasiswa.

Majlis turut menyaksikan secara langsung acara simbolik penyerahan Sijil Rakan Alumni Universiti Awam (UA) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), penyampaian Sijil Pengiktirafan Malaysia Book of Records serta penyerahan sumbangan MALUMNI daripada universiti-universiti awam.

Penyampaian sijil Rakan Alumni UA KPT kepada wakil 20 universiti awam itu menjadi simbol penghargaan terhadap kerjasama dan komitmen komuniti alumni dalam memperkasakan institusi pendidikan tinggi negara, manakala seramai 200 penerima Rakan Alumni turut diraikan.

Total Views: 17