Advertisement

UUM Bolot Empat Anugerah Pada DICE 4.0 Di Putrajaya FOI 2026 -MySiswaNow

Berita dan Gambar oleh SELECT JHEPA UUM

PUTRAJAYA– Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya membawa pulang dua pingat perak, satu pingat gangsa serta satu anugerah khas menerusi Majlis Penutupan Program Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

​Kejayaan cemerlang yang berlangsung sempena hari kedua Festival of Idea Putrajaya (FOI) 2026 yang berlangsung pada 17 sehingga 19 November itu sekali gus membuktikan keupayaan pelajar UUM dalam menyemarakkan budaya inovasi dan keusahawanan kreatif negara.

​Mendahului senarai kejayaan ialah pasukan Craftora Ventures yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas (Reruai Paling Interaktif) berserta hadiah wang tunai bernilai RM1,000, selain turut meraih pingat Perak bagi kategori Reka Bentuk Perindustrian.

​Menerusi inovasi reka bentuk produk warisan bertajuk RYCIKĀN: The Malay Keris Assembly Experience, pasukan ini turut melakar kejayaan tersenarai dalam kelompok lima terbaik (Top 5) bagi kategori berkenaan.

​Produk yang menggabungkan seni pertukangan tradisional Melayu dan teknologi pembelajaran digital itu dibangunkan oleh Siti Nur Khadijah Aisyah Zaharrudin, Nur Adlin Auji Zulkarnain, Nani Nuredzuha Dyana Sa’at, dan Annur Najwa Maisarah Anuar di bawah bimbingan mentor mereka, Dr. Maulana Al-Fin Che Man.

​Menampilkan kit pemasangan keris miniatur enam komponen berasaskan sistem tanggam, inovasi yang telah didaftarkan harta inteleknya turut mendapat sentuhan kepakaran tukang keris veteran dari Perlis, Shahabuddin Sabu. Integrasi kotak kayu premium bersama akses informasi pendidikan melalui kod QR dilihat mampu memperkasakan penghayatan generasi muda terhadap warisan keris.

​Sementara itu, pingat perak kedua UUM disumbangkan oleh pasukan Digital Mango bagi kategori Interaktif Media AR/VR menerusi inovasi realiti maya (VR/AR/MR) bertajuk Echoes of Kedah: An Immersive Journey into the Biological Heritage of Sungai Merbok.

​Projek di bawah bimbingan Dr. Abdul Syafiq Bahrin itu dibangunkan bagi mengatasi kekangan akses langsung ke ekosistem hutan paya bakau dalam sesi pembelajaran formal. Inovasi berkenaan menawarkan pengalaman galeri maya tiga dimensi (3D) secara masa nyata (real-time) bagi Kompleks Galeri Paya Bakau Jeti Semeling, Kedah.

​Melalui pendekatan penerokaan dan pembelajaran interaktif, pengguna dapat menavigasi landskap paya bakau sambil memeriksa model 3D flora dan fauna berserta titik data ekologi secara terperinci. Usaha mendigitalkan serta mengarkibkan khazanah alam ini bukan sahaja menyediakan akses jarak jauh, malah berpotensi besar dimanfaatkan oleh pihak sekolah, sektor ekopelancongan, dan pameran muzium maya bagi memupuk kesedaran pemuliharaan alam sekitar.

​Dalam pada itu, pasukan Northern Animation Studio turut mengharumkan nama universiti apabila memenangi pingat gangsa bagi kategori Animasi Pendek menerusi karya animasi fantasi 3D bertajuk WanderPals.

​Animasi berunsur pendidikan budaya tersebut mengisahkan pengembaraan empat watak utama iaitu Kuma, Tigro, Niko, dan Mochibo yang membentuk pasukan khas bagi menjejaki semula alat muzik tradisional serta memulihkan data warisan muzik yang hilang dari sebuah pusat simpanan data.

​Penerbitan WanderPals bertujuan memperkenalkan kepelbagaian alat muzik tradisional Malaysia kepada golongan kanak-kanak melalui medium animasi 3D yang interaktif, sekali gus memupuk rasa penghargaan dan kesedaran untuk memelihara budaya tanah air sejak usia muda.

Kejayaan ketiga-tiga pasukan ini bukan sahaja membuktikan keupayaan teknikal pelajar dalam dunia digital, malah menzahirkan kesungguhan generasi muda dalam memelihara warisan negara agar tidak ditelan arus pemodenan. Melalui pendekatan kreatif yang menggabungkan elemen seni pertukangan tradisional, khazanah alam sekitar, dan muzik warisan, inovasi yang dihasilkan berjaya mengangkat jati diri bangsa supaya terus relevan, difahami, serta dihargai oleh masyarakat masa kini.

​Secara keseluruhannya, pencapaian membanggakan ini mencerminkan peranan proaktif UUM sebagai institusi pengajian tinggi yang komited memacu bidang inovasi kreatif berteraskan nilai budaya dan sejarah.

Dengan sokongan ekosistem pembelajaran yang kondusif serta bimbingan kepakaran akademik, UUM akan terus melahirkan graduan holistik yang mampu memanfaatkan kecanggihan teknologi moden demi memastikan kelestarian warisan serta identiti negara terus gah di persada antarabangsa.

Total Views: 6