Setiap pasukan memperlihatkan semangat juang, strategi dan kerjasama berpasukan sepanjang pertandingan bagi memberikan persembahan terbaik dalam arena e-sukan
KUALA LUMPUR, 17 November 2026 – Debaran kejohanan e-Sport MESA (Malaya E-sport Arena) 2026 Grand Finale anjuran Festival Konvokesyen Universiti Malaya 2026 (FESKUM 2026) akhirnya terjawab apabila tiga pasukan terbaik berjaya menduduki podium dalam pertandingan yang berlangsung pada 17 November 2026 bertempat di Marquee Tent, Canseleri Universiti Malaya (UM).
Kejohanan ini menyaksikan persaingan sengit antara pasukan yang bertanding dalam usaha merebut gelaran juara serta membawa pulang hadiah kemenangan yang ditawarkan..
Selepas melalui persaingan yang mencabar, Team Noob berjaya muncul sebagai juara MESA 2026 Grand Finale dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000. Tempat kedua pula menjadi milik kumpulan Arcade E-sport dengan hadiah wang tunai berjumlah RM1,500, manakala Team XOPU melengkapkan kedudukan tiga pasukan terbaik di tempat ketiga dengan membawa pulang RM1,000.
Kejayaan ketiga-tiga pasukan ini membuktikan keupayaan mereka dalam menggabungkan kemahiran individu, perancangan strategi dan persefahaman antara ahli pasukan bagi menghadapi cabaran sepanjang kejohanan. Pencapaian yang diraih turut memperlihatkan bahawa dunia e-sukan bukan sekadar bergantung pada kemahiran permainan, malah menuntut disiplin, fokus dan semangat kesukanan yang tinggi.
Penganjuran MESA 2026 Grand Finale sebagai salah satu pengisian FESKUM 2026 bukan sahaja menjadi medan persaingan untuk menentukan pasukan terbaik, malah berperanan sebagai platform bagi mengetengahkan bakat dan potensi mahasiswa dalam industri e-sukan yang semakin berkembang. Melalui pertandingan seumpama ini, mahasiswa berpeluang mengasah kemahiran, membina keyakinan serta memperkukuh hubungan melalui semangat kerjasama dan persaingan yang sihat.

Kemeriahan kejohanan ini turut disokong oleh penglibatan pasukan yang bertanding serta para penyokong yang hadir memberikan sokongan sepanjang pertandingan berlangsung. Sokongan tersebut secara tidak langsung menyumbang kepada suasana kejohanan yang lebih meriah dan menghidupkan semangat komuniti e-sukan dalam kalangan warga universiti.
Universiti Malaya merakamkan penghargaan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian serta para penyokong yang telah memeriahkan MESA 2026. Diharapkan penganjuran kejohanan ini menerusi FESKUM 2026 dapat terus menjadi wadah untuk mencungkil bakat baharu, mengembangkan potensi mahasiswa dan memperkukuh perkembangan e-sukan dalam persekitaran universiti.

GG, well played! Tahniah kepada semua pemenang dan jumpa lagi di pertempuran seterusnya!
FESKUM 2026 – Kemuncak Aspirasi
Oleh : Nur Farisha Mohd Faizal












