Di sebalik setiap skrol, tersimpan seribu cerita yang menjadi sebahagian daripada perjalanan seorang graduan.
KUALA LUMPUR, 16 November 2026 – Ada pengorbanan yang tidak terlihat, air mata yang tidak terungkap dan perjuangan yang akhirnya membawa kepada sebuah kejayaan.Berteraskan semangat tersebut, Universiti Malaya (UM) secara rasmi melancarkan Festival Konvokesyen Universiti Malaya 2026 (FESKUM 2026) pada 16 November 2026 bertempat di Khemah Marquee, Canseleri UM.
Majlis pelancaran ini menjadi pembuka tirai kepada penganjuran FESKUM 2026 yang bukan sahaja meraikan kemeriahan musim konvokesyen, malah mengangkat kisah perjalanan kehidupan mahasiswa sepanjang menuntut ilmu di universiti.Menerusi pendekatan penceritaan yang kreatif dan penuh penghayatan, acara ini membawa mesej bahawa setiap kejayaan yang dikecapi mempunyai perjalanan tersendiri yang dipenuhi cabaran, pengorbanan dan pengalaman berharga.

Antara pengisian utama yang mencuri perhatian hadirin ialah persembahan teater yang mengetengahkan pelbagai realiti dan cabaran kehidupan mahasiswa. Persembahan tersebut menggambarkan perjuangan pelajar dalam mengharungi kehidupan di universiti, termasuk pelbagai dugaan dan pengorbanan yang menjadi sebahagian daripada proses membina masa depan.
Setiap babak membawa penonton menyelami pengalaman mahasiswa yang berbeza, sekali gus memperlihatkan bahawa perjalanan menuju kejayaan bukanlah sesuatu yang mudah.Persembahan teater tersebut turut menyampaikan mesej bahawa di sebalik senyuman seorang mahasiswa, mungkin tersimpan pelbagai kisah perjuangan yang tidak diketahui orang lain.
Setiap usaha, kesabaran dan kecekalan yang dicurahkan sepanjang tempoh pengajian akhirnya menjadi sebahagian daripada kenangan yang membentuk diri seseorang graduan. Justeru, skrol yang diterima bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian akademik, tetapi turut melambangkan perjalanan panjang yang telah ditempuhi.

Suasana malam turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada penyanyi terkenal tanah air, Anuar Zain, yang menghiburkan para hadirin menerusi tiga buah lagu. Kehadiran beliau menambahkan kemeriahan majlis pelancaran, sekali gus memberikan pengalaman hiburan istimewa kepada warga universiti dan para tetamu yang hadir.
Penganjuran FESKUM 2026 mencerminkan penghargaan Universiti Malaya terhadap usaha, ketabahan dan dedikasi para mahasiswa yang telah melalui pelbagai pengalaman sepanjang perjalanan akademik mereka. FESKUM 2026 juga menjadi ruang untuk meraikan kejayaan bukan sahaja dari sudut pencapaian akademik, malah daripada aspek pembentukan jati diri, kematangan dan pengalaman kehidupan yang diperoleh sepanjang berada di universiti.

Lebih daripada sekadar sebuah festival, FESKUM 2026 membawa makna yang lebih mendalam dalam menghubungkan setiap kisah perjuangan mahasiswa dengan detik kejayaan yang diraikan menerusi istiadat konvokesyen. Setiap graduan mempunyai cerita tersendiri yang wajar dikenang, dihargai dan diraikan sebagai sebahagian daripada perjalanan kehidupan mereka.
Sesungguhnya, setiap skrol bukan sekadar bukti kejayaan akademik, tetapi lambang sebuah perjalanan yang penuh dengan cerita, air mata, pengorbanan dan kebanggaan. Di sebalik setiap kejayaan yang diraikan, tersimpan usaha dan ketabahan yang menjadikan pencapaian tersebut begitu bermakna.
FESKUM 2026 – Kemuncak Aspirasi.

Oleh : Nur Farisha Mohd Faizal












