Advertisement

SEMARAK RESAK 2.0 satukan teknologi, budaya dan kelestarian di Johor

Oleh : Muhammadshawal

JOHOR BAHRU, 9 Nov. – Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), meneruskan usaha mendekatkan ilmu dan kepakaran universiti kepada masyarakat menerusi penganjuran SEMARAK RESAK 2.0 yang menggabungkan pendidikan teknologi, penghayatan warisan budaya serta pemeliharaan alam sekitar di Muar, Johor.

Program anjuran mahasiswa KTDI itu merupakan kesinambungan siri terdahulu yang memberi tumpuan kepada aktiviti kesukarelawanan bersama masyarakat setempat. Kali ini, skop program diperluas dengan penglibatan pelajar antarabangsa dari Universitas Tanjungpura (UNTAN), Pontianak dan Universitas Syiah Kuala (USK), Banda Aceh, Indonesia, sekali gus membuka ruang interaksi silang budaya antara peserta dengan komuniti setempat.

Perasmian SEMARAK RESAK 2.0 diserikan dengan aktiviti sukan rakyat dan jamuan silang budaya Malaysia-Indonesia

Program yang berlangsung di Padang Taman Lembah Padang, Muar itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, YB Dato’ Ashari Md Sarip. Penganjurannya turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sri Jong, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Cawangan Tanjung Emas dan Parit Sakai Laut, Klinik Anda Cawangan Muar, Ar-Rahnu YaPEIM serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Muar.

Program dimulakan dengan aktiviti sukan rakyat seperti tarik tali dan larian menggunakan terompah gergasi yang melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat bersama pelajar dari Indonesia. Aktiviti tersebut menjadi ruang interaksi awal antara mahasiswa dengan komuniti, di samping memperkenalkan permainan tradisional dalam suasana santai.

Dalam aspek pendidikan teknologi pula, pengisian STEM program itu menghimpunkan pelajar daripada 16 sekolah di sekitar Johor, termasuk daerah Muar, Tangkak dan Batu Pahat. Sesi berkenaan digerakkan melalui kerjasama mahasiswa UTM, Jazari Innovation Club dan alumni UTM yang berkongsi pengetahuan serta pengalaman dalam bidang robotik, realiti terimbuh (Augmented Reality, AR) dan realiti maya (Virtual Reality, VR).

Pelajar daripada 16 sekolah menyertai bengkel asas robotik, realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR)

Menurut Pengarah Program, Muhammad Shawal Shafiee, SEMARAK RESAK 2.0 dirangka untuk menjadikan universiti sebagai pemangkin pembangunan masyarakat melalui perkongsian ilmu dan pengalaman yang dapat dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan komuniti.

“Bagi kami, SEMARAK RESAK 2.0 bukan sekadar sebuah program kesukarelawanan, tetapi satu usaha untuk membawa ilmu keluar daripada lingkungan universiti dan mendekatkannya kepada masyarakat. Kami mahu golongan muda melihat bahawa STEM bukan sekadar teori di dalam buku, sebaliknya satu dunia yang penuh dengan peluang, kreativiti dan inovasi. Harapan saya, pengalaman yang dibawa melalui program ini mampu mencetuskan inspirasi dan menjadi titik permulaan kepada lahirnya generasi yang berani meneroka, berfikiran kritis dan kreatif serta mampu berdaya saing di masa hadapan,” katanya.

Selain pendidikan teknologi, program itu turut mengetengahkan kepelbagaian makanan tradisional Malaysia dan Indonesia sebagai medium pengenalan budaya. UTM memperkenalkan Mi Bandung Muar yang sinonim dengan identiti gastronomi daerah berkenaan, manakala delegasi UNTAN dari Pontianak memperkenalkan gado-gado dan delegasi USK dari Aceh mengetengahkan Boh Manok, iaitu bergedel kelapa.

Pengetua KTDI, ChM Dr. Mohd Akmali Mokhter, berkata perkongsian makanan tradisional itu memberi peluang kepada peserta dan masyarakat setempat untuk mengenali kepelbagaian budaya kedua-dua negara.

“Pertemuan tiga hidangan tradisional ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman peserta dan komuniti setempat melalui kepelbagaian cita rasa, malah membuka ruang untuk saling mengenali budaya, tradisi dan keunikan masyarakat Malaysia dan Indonesia, seiring dengan keistimewaan KTDI yang terkenal dengan kebudayaan,” katanya.

Penghayatan warisan Johor turut diberi perhatian menerusi kerjasama dengan Persatuan Seni dan Budaya Muar (PERSEMAR). Peserta berpeluang mempelajari seni tarian, permainan alat muzik tradisional serta seni anyaman berkaitan kuda kepang, sekali gus mendapat pendedahan secara langsung terhadap warisan budaya tempatan.

Peserta mempelajari seni kuda kepang bersama Persatuan Seni dan Budaya Muar (PERSEMAR) di Kampung Parit Bugis, Muar

Pengisian program kemudiannya diteruskan dengan eksplorasi biodiversiti di Eko Pelancongan Kampung Sungai Melayu. Menerusi aktiviti menaiki bot menyusuri kawasan paya bakau, peserta berpeluang mengenali kepelbagaian hidupan liar serta melihat kegiatan penternakan kupang dan belangkas. Mereka turut berpeluang menyertai aktiviti menangkap ketam sebagai sebahagian daripada pengalaman mengenali ekosistem setempat.

Pelajar UTM, UNTAN dan USK mengunjungi kawasan penternakan kupang dan belangkas di Eko Pelancongan Kampung Sungai Melayu

Eksplorasi kelestarian itu diteruskan di Taman Negara Tanjung Piai, Johor, yang terkenal sebagai titik paling selatan tanah besar Asia. Di lokasi berkenaan, peserta menyertai aktiviti semaian anak pokok bakau sebagai simbolik komitmen bersama terhadap usaha pemuliharaan ekosistem paya bakau dan kawasan pesisir pantai.

Pelajar UTM, UNTAN dan USK menyertai aktiviti semaian anak pokok bakau di Taman Negara Tanjung Piai, Johor

Penganjuran SEMARAK RESAK 2.0 turut mendapat sokongan pelbagai pihak, antaranya Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Tuan Pannir Selvam, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Koperasi Penduduk Kampung Sungai Melayu, Perbadanan Taman Negara Johor, UTM Holdings, UTM International, Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Kopi 434 dan Sudee Holdings Berhad.

Kerjasama tersebut mencerminkan peranan pelbagai pihak dalam menyokong pelaksanaan program berteraskan komuniti, perkongsian ilmu dan kelestarian alam sekitar. Melalui gabungan pendidikan teknologi, penghayatan budaya dan aktiviti pemuliharaan alam, SEMARAK RESAK 2.0 menyediakan ruang kepada mahasiswa dan masyarakat untuk saling berkongsi pengetahuan serta pengalaman merentas generasi dan negara.

Sumber: UTM NewsHub

Total Views: 4