Advertisement

UiTM Shah Alam Sertai SAMMIT 26, Perkukuh Pendedahan Antarabangsa dalam Pengurusan Bencana

Oleh: Dian Nursyabanizam Jamaludin

SHAH ALAM, 23 November 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menyertai program SISPA Mobility Programme in Disaster Management to Japan 2026 (SAMMIT 26) yang dianjurkan oleh Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Program mobiliti antarabangsa yang berlangsung selama empat hari dari 9 hingga 12 November 2026 merupakan satu inisiatif bagi memberikan pendedahan dan pengalaman secara langsung kepada peserta berkaitan aspek pengurusan bencana, kesiapsiagaan komuniti dan keselamatan awam di peringkat antarabangsa.

UiTM Shah Alam telah diwakili oleh dua orang pegawai Kor SISPA, iaitu Lt. M (PA) Muhammad Nabil Sukry dan Lt. M (PA) Muhammad Alauddin Aufa Mohd Yasri diringi dua orang pengawai pengiring iaitu Kapt Bersekutu (PA) Dian Nursyabanizam Jamaludin dan Lt. Bersekutu (PA) Mohd Noor Faizal Ab Malek. Program ini turut melibatkan penyertaan delegasi daripada beberapa institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan, termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Delegasi Kor SISPA Mobility Programme in Disaster Management to Japan 2026 (SAMMIT 26) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama dengan mengibarkan bendera institusi masing-masing sepanjang program berlangsung di Jepun.

Penganjuran SAMMIT 26 bertujuan memperluas pengetahuan dan kefahaman peserta terhadap pendekatan pengurusan bencana di Jepun, khususnya dari segi sistem tindak balas kecemasan, pengurangan risiko bencana, kesiapsiagaan komuniti dan koordinasi antara agensi keselamatan. Selain itu, program ini turut menjadi platform pertukaran ilmu, pengalaman serta budaya antara peserta Malaysia dengan pihak institusi dan agensi di Jepun.

Pada 9 November 2026, para peserta memulakan program dengan melaksanakan aktiviti Corporate Social Responsibility (CSR) di Masjid Sapporo. Aktiviti ini memberikan peluang kepada peserta untuk menyumbang kepada komuniti setempat di samping memupuk semangat kesukarelawanan, tanggungjawab sosial dan hubungan kemasyarakatan. Seterusnya, peserta mengadakan lawatan ke Sapporo Citizen Disaster Prevention Centre bagi mendapatkan pendedahan berkaitan kesiapsiagaan menghadapi bencana. Para peserta turut berpeluang merasai pengalaman simulasi bencana seperti gempa bumi, kebakaran dan ribut bagi memahami tindakan keselamatan yang perlu diambil ketika berhadapan situasi kecemasan.

Delegasi UiTM merakamkan gambar kenang-kenangan bersama wakil Sapporo Citizen Disaster Prevention Centre sempena program Kor SISPA Mobility Programme in Disaster Management to Japan 2026 (SAMMIT 26) di Sapporo, Jepun.

Pada 10 November 2026, delegasi mengadakan lawatan ke Sapporo Fire Bureau bagi mendapatkan gambaran mengenai struktur organisasi, fungsi dan operasi perkhidmatan Bomba di Jepun. Lawatan ini turut merangkumi pendedahan kepada Sapporo Area Fire Command Center serta Central Fire Station. Sesi penerangan dan perbincangan yang diadakan memberikan pemahaman mengenai sistem koordinasi operasi kecemasan dan peranan pihak Bomba dalam memastikan keselamatan masyarakat. Selain itu, peserta turut melawat Red Brick Government Office (Hokkaido Aka Renga) bagi mengenali sejarah dan warisan pentadbiran kerajaan Hokkaido.

Delegasi program Kor SISPA Mobility Programme in Disaster Management to Japan 2026 (SAMMIT 26) merakamkan gambar kenangan bersama wakil institusi di Red Brick Government Office, Hokkaido, Jepun, sambil memegang bendera Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pada 11 November 2026, peserta meneruskan lawatan akademik ke Centre for Natural Hazards Research (CNHR), Hokkaido University. Lawatan ini memberikan pendedahan mengenai penyelidikan berkaitan bahaya semula jadi serta pendekatan saintifik dalam memahami dan mengurangkan risiko bencana. Seterusnya, peserta berpeluang mengunjungi Hokkaido University Museum untuk mengenali sejarah, penyelidikan dan perkembangan akademik universiti tersebut. Program diteruskan dengan lawatan ke Japan International Cooperation Agency (JICA) bagi mendapatkan maklumat mengenai peranan Jepun dalam kerjasama antarabangsa, khususnya berkaitan pembangunan, bantuan kemanusiaan dan pengurusan risiko bencana.

Pada 12 November 2026, peserta mengikuti lawatan ke Shakotan Peninsula dan Cape Kamui bagi meneroka keindahan alam semula jadi serta kawasan pesisir pantai di Hokkaido. Lawatan diteruskan ke Sakaimachi Street, Otaru Canal dan Sankaku Market yang terkenal dengan nilai sejarah dan keunikan seni binanya. Aktiviti ini turut memberikan peluang kepada peserta untuk mengenali budaya, sejarah dan persekitaran masyarakat setempat di Jepun sebelum program berakhir.

Sepanjang program berlangsung, para peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan berkaitan sistem pengurusan bencana di Jepun, malah berpeluang memahami kepentingan kerjasama antara agensi, penggunaan teknologi, penyelidikan saintifik dan penglibatan komuniti dalam menghadapi risiko bencana. Pengalaman ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan serta pemahaman silang budaya dalam kalangan peserta.

Penyertaan UiTM Shah Alam dalam SAMMIT 26 mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan mahasiswa yang berpengetahuan, berkemahiran dan mempunyai kesedaran terhadap kepentingan pengurusan bencana serta keselamatan komuniti. Pendedahan antarabangsa yang diperoleh diharapkan dapat dimanfaatkan dalam memperkukuh kompetensi anggota Kor SISPA, khususnya dalam aspek kesiapsiagaan, kepimpinan dan pengurusan operasi kecemasan.

Delegasi UiTM merakamkan gambar kenang-kenangan di hadapan bangunan balai bomba di Sapporo, Jepun, sempena program Kor SISPA Mobility Programme in Disaster Management to Japan 2026 (SAMMIT 26).

Secara keseluruhannya, SAMMIT 26 bukan sahaja menjadi platform pembelajaran dan perkongsian ilmu di peringkat antarabangsa, malah turut memperkukuh hubungan kerjasama antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan pihak Jepun. Pengalaman serta pengetahuan yang diperoleh sepanjang program diharapkan dapat melahirkan generasi sukarelawan yang kompeten, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran pengurusan bencana pada masa hadapan.

Total Views: 9