Berita dan Gambar oleh CEDI UUM
PULAU PINANG – Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh pembangunan bakat keusahawanan pelajar melalui penganjuran Bootcamp 1: ESG Business Innovation Challenge 2026 (EBIC’26) yang berlangsung selama tiga hari bermula 18 hingga 20 November lalu.
Program yang melibatkan penyertaan 42 pelajar ini merupakan inisiatif pembangunan keusahawanan berteraskan inovasi, teknologi dan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) dengan memberi penekanan kepada pembangunan serta penambahbaikan idea perniagaan yang inovatif, mampan dan berpotensi untuk dikomersialkan.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah CEDI (Latihan dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar), Dr. Saiful Azizi Ismail.
Dalam amanatnya, beliau berharap agar kesemua kumpulan yang terpilih dapat memanfaatkan peluang sepanjang program untuk menghasilkan produk inovasi yang memenuhi objektif dan hala tuju EBIC’26.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah CEDI (Penyelidikan, Jaringan Industri dan Komuniti), Dr. Mohamad Hanif Abu Hassan.
Sepanjang pelaksanaan program, peserta mengikuti tiga modul utama yang dirangka bagi memperkukuh pengetahuan dan kompetensi keusahawanan iaitu Kelestarian dalam Proses Perniagaan yang dikendalikan oleh Dr. Khairol Anuar Ishak dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan; Pengurusan Kewangan Lestari oleh Prof. Madya Dr. Sabariah Nordin dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan serta Pengurusan Projek Berinovasi yang dikendalikan oleh Dr. Nurul Rezuana Buyung, Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Othman, Prof. Madya Dr. Wan Nadzri Osman dan Dr. Faisal Zulhumadi.
Pengisian program turut merangkumi aktiviti pembelajaran secara praktikal, perbincangan kumpulan, pembentangan idea perniagaan serta pembangunan dan penambahbaikan prototaip. Pendekatan ini memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan ilmu daripada ketiga-tiga modul dalam projek kumpulan masing-masing, khususnya dalam mengintegrasikan prinsip ESG ke dalam pembangunan idea perniagaan.
Pelaksanaan Bootcamp 1 diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi keusahawanan peserta, khususnya dalam aspek kelestarian operasi perniagaan, penerapan prinsip ESG, perancangan kewangan, pengurusan kos dan aliran tunai serta perancangan dan pelaksanaan projek inovasi secara sistematik.

Inisiatif ini turut menyokong agenda keusahawanan UUM dalam melahirkan pelajar yang berdaya inovasi, kreatif dan mempunyai pemikiran keusahawanan yang mampan. Pada masa yang sama, penerapan prinsip ESG diharap dapat membentuk usahawan pelajar yang bukan sahaja berorientasikan keuntungan, malah mengambil kira tanggungjawab terhadap alam sekitar, masyarakat dan amalan tadbir urus yang baik.
Penganjuran EBIC’26 juga selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan di institusi pendidikan tinggi, khususnya dalam melahirkan graduan usahawan serta menggalakkan pembangunan syarikat pemula pelajar yang menawarkan produk dan perkhidmatan berasaskan inovasi dan teknologi.
Melalui pelaksanaan Bootcamp 1 ini, CEDI berharap agar peserta dapat memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh untuk memperhalusi idea perniagaan masing-masing ke arah pembangunan penyelesaian inovatif yang berdaya maju, mampan dan mempunyai nilai komersial, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekosistem keusahawanan berimpak tinggi di UUM.










