Advertisement

Jejak Panggung FESKUM 2026 Hidupkan Nostalgia Filem Ikonik Malaysia

Universiti Malaya menghimpunkan kreativiti, bakat dan semangat warga kolej kediaman menerusi perarakan bertemakan filem ikonik Malaysia.

KUALA LUMPUR, 20 November 2026 – Suasana sekitar Universiti Malaya (UM) dimeriahkan Penganjuran Jejak Panggung, anjuran Festival Konvokesyen Universiti Malaya 2026 (FESKUM 2026) menampilkan penyertaan sebanyak 10 kolej kediaman yang masing-masing membawa interpretasi dan persembahan tersendiri berdasarkan filem-filem tempatan yang pernah mencorakkan industri perfileman tanah air. Antara filem yang diketengahkan termasuk Tentang Bulan, Talentime, Hantu Kak Limah, Cicakman, 29 Februari, Polis Evo, Sinaran, Gol & Gincu, Papadom dan Duyung.

Kolej Kediaman 3 – Hantu Kak Limah

Menerusi perarakan tersebut, para mahasiswa menghidupkan semula watak, suasana dan babak ikonik daripada filem pilihan masing-masing melalui pelbagai persembahan kreatif. Daripada karakter komedi yang mencuit hati hinggalah kepada aksi penuh dramatik, setiap perarakan memberikan pengalaman berbeza kepada para penonton, sekali gus membawa mereka mengimbau kembali nostalgia karya-karya sinema tempatan.

Keunikan setiap persembahan turut memperlihatkan kreativiti mahasiswa dalam menterjemahkan elemen filem ke dalam bentuk persembahan secara langsung. Pemilihan kostum, penghayatan watak serta pendekatan persembahan yang bersesuaian dengan identiti filem masing-masing menyerlahkan usaha dan komitmen setiap kolej kediaman dalam menjayakan acara tersebut.

Selain menjadi ruang untuk mengetengahkan bakat dan kebolehan mahasiswa, Jejak Panggung turut mencerminkan semangat kerjasama serta kesepaduan warga kolej kediaman. Persiapan dan penglibatan mahasiswa dalam menjayakan perarakan ini memperlihatkan bagaimana kreativiti dapat disatukan melalui semangat berpasukan, sekali gus mewujudkan pengalaman bermakna sepanjang penganjuran FESKUM 2026.

Kolej Kediaman 5 – 29 Februari

Lebih daripada sekadar sebuah perarakan, Jejak Panggung menjadi platform untuk mahasiswa menzahirkan idea dan kreativiti, di samping menghargai warisan seni serta perkembangan industri perfileman Malaysia. Penggunaan filem-filem ikonik tempatan sebagai tema turut memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan menghayati karya yang mempunyai nilai tersendiri dalam landskap budaya dan hiburan negara.

Penganjuran acara ini turut menambah warna kepada kemeriahan FESKUM 2026 yang bukan sahaja meraikan pencapaian akademik para graduan, malah menyediakan ruang kepada warga universiti untuk berkumpul, berkongsi pengalaman dan mencipta kenangan bersama melalui aktiviti kesenian dan kebudayaan.

Kolej Kediaman 6 – Polis Evo

Sesungguhnya, setiap kolej membawa cerita dan identiti tersendiri, namun kesemuanya disatukan melalui satu pentas yang meraikan nostalgia, kreativiti dan kecintaan terhadap seni tempatan.

Sepuluh kolej, sepuluh cerita, satu pentas yang menyatukan nostalgia dan kreativiti!

Kolej Kediaman 2 – filem Talentime

FESKUM 2026 – Kemuncak Aspirasi

Oleh : Nur Farisha Mohd Faizal

Total Views: 5