Oleh: Dr. Nor Kamariah binti Kamaruddin
BATU PAHAT, 16 Julai 2026– Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) telah menganjurkan Majlis Penganugerahan Sijil Profesional CILT Certificate in Supply Chain and Transportation di bawah Program Tauliah Industri dan Profesional (KPTiP) yang berlangsung di Dewan Banquet, Dewan Sultan Ibrahim, UTHM. Seramai 29 peserta telah berjaya menamatkan program pensijilan profesional tersebut.
Majlis telah disempurnakan dengan kehadiran Presiden The Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM), YBhg. Profesor Ts. Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein, FCILT, serta Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, YBrs. Prof. Madya Dr. Md Asrul Nasid bin Masrom. Program yang diketuai oleh Dr. Nor Kamariah binti Kamaruddin ini bertujuan memperkukuh kompetensi profesional dalam bidang logistik, pengangkutan dan pengurusan rantaian bekalan.

Dalam ucapannya, Prof. Madya Dr. Md Asrul Nasid bin Masrom menegaskan bahawa pensijilan profesional seperti CILT mampu meningkatkan kompetensi dan kebolehpasaran graduan, di samping mengukuhkan kerjasama strategik antara UTHM dan CILTM dalam melahirkan modal insan yang memenuhi keperluan industri.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian anugerah kepada pelajar terbaik mengikut modul dan keseluruhan, penyampaian sijil penghargaan kepada jawatankuasa serta tenaga pengajar, sebelum diakhiri dengan sesi fotografi dan jamuan makan tengah hari.
FPTP akan meneruskan kerjasama ini bersama dengan CILTM dan MalTraC dalam MOU yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.














