Advertisement

UiTM Santuni Komuniti Koh Klang, Krabi Menerusi Misi Kesukarelawanan Kesihatan Antarabangsa

Oleh: Mohd Rizal Nordin

KRABI, 20 Oktober 2026 – Kelab HEALX UiTM dengan penganjuran bersama Pusat Kesihatan UiTM, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM, Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM serta Fakulti Perubatan UiTM telah menjayakan misi kesukarelawanan kesihatan antarabangsa menerusi agenda induk U-CARE: Empowering Youth Against HIV 2026 bertempat di Masjid Ban Koh Klang, Kampung 1, Mukim Khlong Prasong, Daerah Mueang, Krabi, Thailand, baru-baru ini.

Misi Khidmat Komuniti berteraskan inisiatif University Social Responsibility (USR) ini menterjemahkan keprihatinan berterusan UiTM terhadap kesejahteraan warga serantau. Program ini dijayakan menerusi sinergi pelbagai pihak merangkumi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis AIDS Malaysia (MAC), Yayasan AIDS Malaysia, Persatuan Insaf Murni Malaysia (IMAM) dan PT Foundation. Pelaksanaan aktiviti serta penyampaian sumbangan kepada melebihi 200 orang penduduk setempat pelbagai lapisan umur ini turut disokong menerusi tajaan dana daripada Malaysian Medical Relief Society (MERCY Malaysia) dan AIDS Healthcare Foundation (AHF).

Acara penyerahan kotak pertolongan cemas lengkap telah disempurnakan kepada Imam Masjid Ban Koh Klang sebagai simbolik perkhidmatan sokongan kesihatan komuniti

Siri aktiviti interaktif pendidikan dan ujian saringan kesihatan telah dikendalikan oleh barisan delegasi yang turut disertai seramai 28 orang wakil pelajar – Peer Educators Kelab HEALX UiTM dari kampus Shah Alam dan Sg Buloh. Keterlibatan mahasiswa ini meletakkan belia sebagai ejen perubahan dalam memantapkan literasi kesihatan, kemahiran komunikasi serta kepimpinan semasa menyampaikan mesej kesihatan awam kepada masyarakat.

Pengisian utama program menyaksikan pelaksanaan ujian saringan dan saringan kesihatan asas yang memanfaatkan seramai 70 orang penduduk setempat. Bagi menyemarakkan kesedaran kesihatan dalam kalangan belia, aktiviti pendidikan interaktif seperti pertandingan mewarna serta sukaneka dianjurkan dengan penglibatan melebihi 100 orang kanak-kanak. Setiap peserta dibekalkan sumbangan hygiene kit, manakala kanak-kanak menerima set alat tulis serta pensel warna.

Sesi saringan dan pemeriksaan kesihatan asas kepada penduduk setempat dikendalikan oleh mahasiswa sukarelawan Kelab HEALX UiTM

Misi ini turut memperkasa komuniti menerusi demonstrasi pertolongan cemas kepada jawatankuasa Masjid Ban Koh Klang berserta penyerahan kotak pertolongan cemas lengkap, di samping pengagihan 220 pek makanan. Kehadiran delegasi UiTM dan rakan strategik disambut mesra oleh kepimpinan tempatan yang diwakili Imam Masjid serta Ketua Kampung.

Sesi perutusan telah disempurnakan oleh Ketua Delegasi Misi merangkap Pakar Perubatan Kesihatan Awam Pusat Kesihatan UiTM, Dr. Nurfazlinda Md Shah. Beliau menegaskan bahawa penganjuran program ini mencerminkan komitmen padu universiti dalam melonjakkan tahap kesihatan masyarakat di samping memupuk semangat kesukarelawanan rentas sempadan dalam jiwa mahasiswa. Inisiatif ini sekali gus memperkukuh peranan UiTM sebagai institusi pengajian tinggi yang melahirkan impak berprestij di peringkat kebangsaan mahupun persada antarabangsa.

Aktiviti pendidikan interaktif bersama golongan kanak-kanak telah dikendalikan secara komited oleh mahasiswa sukarelawan Kelab HEALX UiTM

Total Views: 22