Advertisement

ADIKARMA USM Rangkul Naib Johan Cabaran Ceritera Muzikal MADANI FOI 2026

Foto/teks: Kumpulan Kesenian Adikarma USM

Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM

Putrajaya, 19 November 2026 – Kumpulan Kesenian Adikarma Universiti Sains Malaysia (USM) mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai Naib Johan Kategori Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam Cabaran Ceritera Muzikal MADANI sempena Festival of Ideas 2026 (FOI 2026) yang berlangsung di Dewan Putra A, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 17 November 2026 baru-baru ini.

Kejayaan itu diraih menerusi karya teater muzikal bertajuk Seribu Warna, Satu Jiwa: Ukiran Keharmonian yang berjaya mengatasi saingan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di tempat ketiga, namun terpaksa akur dengan kehebatan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dinobatkan sebagai Johan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut hadir menyerikan majlis penyampaian hadiah dan acara kemuncak FOI 2026 yang menyaksikan saingan sengit lapan finalis daripada 19 penyertaan IPT seluruh negara.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan); Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Encik Hirman Awang @ Semail serta barisan pengarah bahagian JPT yang lain.


Berteraskan aspirasi perpaduan Malaysia MADANI, pementasan ini menyatukan ragam seni lakon, tari, suara, dan bait puisi di atas satu pentas. Persembahan penuh warna ini digerakkan oleh 30 tenaga produksi yang merangkumi 12 penari, tujuh pelakon, tiga vokalis, serta lapan kru teknikal di sebalik tabir.

Kejayaan dan kelancaran produksi ini diterajui oleh barisan pimpinan kreatif yang berpengalaman, iaitu Pegawai Kebudayaan Unit Kebudayaan dan Kesukarelawan (PUMA) BHEPA, Encik Mohd Nur Badri Mohd Nazli, Pegawai Kebudayaan Sektor Pengkayaan Bakat Seni dan Budaya BHEPA, Encik Murshid Md Hussain dan Encik Ahmad Assahirin Hamlet serta Pegawai Kebudayaan Pusat Pengajian Seni, Encik Shahril Effendi Shahardin.

Saingan peringkat akhir tersebut diadili oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Dekan Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) ASWARA, Encik Mohd Kamarulzaman Taib (Che’ Kem), Artis Budaya Istana Budaya, Encik Rudy De Luna Jr. serta Jurulatih dan Penasihat Vokal, Puan Sarah Ismail.

Pencapaian ini mencerminkan komitmen dan kreativiti mahasiswa USM dalam memelihara serta menyemarakkan khazanah seni budaya tempatan di peringkat kebangsaan, di samping menjadi pemangkin kepada Kumpulan Kesenian Adikarma untuk terus menghasilkan karya yang lebih inovatif pada masa hadapan.

Total Views: 0