Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 19 November 2026 – Penyanyi popular, Ainan Tasneem dilantik sebagai Duta Alumni Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), sekali gus mengiktiraf kejayaan beliau sebagai siswazah universiti itu yang berjaya mencipta nama dalam industri muzik tanah air.
Penyerahan watikah pelantikan berlangsung selepas beliau membuat persembahan pada Sidang Tujuh sempena Istiadat Konvokesyen UniMAP 21 yang berlangsung dari 14 hingga 17 November lalu.
Penyerahan pelantikan itu disempurnakan oleh Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan disaksikan oleh Pro Canselor UniMAP Sharifah Khatreena Nuraniah Syed Faizuddin Jamalullail.
Turut hadir Dekan FKTK, Prof Madya Ir. Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar serta Ketua Jabatan Kimia.
Ainan Tasneem atau nama sebenarnya Ainan Tasneem Redzuan yang dikenali menerusi lagu popular Aku Suka Dia dan 150 Juta merupakan alumni Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioproses, FKTK, UniMAP dan menamatkan pengajian pada 2014.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zaliman berkata kejayaan beliau membina kerjaya dalam bidang seni selepas menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan memperlihatkan kepelbagaian laluan kerjaya yang boleh diterokai oleh graduan universiti, selain membuktikan bahawa latar belakang pendidikan mampu menjadi asas dalam membentuk keyakinan dan potensi diri untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.

“Pelantikan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif FKTK untuk memperkukuh jaringan alumni serta memanfaatkan pengalaman, pencapaian dan pengaruh graduan dalam memperluas pengenalan UniMAP kepada masyarakat.
“Melalui peranan sebagai Duta Alumni, Ainan diharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada mahasiswa, khususnya dalam membina keyakinan diri, mengembangkan potensi serta berani meneroka peluang kerjaya dalam pelbagai bidang selepas menamatkan pengajian,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.
Selain itu, pelantikan berkenaan turut membuka ruang kepada pengukuhan hubungan strategik antara alumni dengan fakulti dan universiti, sekali gus mewujudkan jaringan yang dapat dimanfaatkan untuk menyokong pembangunan mahasiswa serta meningkatkan keterlihatan UniMAP di peringkat nasional.
Pengiktirafan terhadap alumni yang berjaya dalam bidang masing-masing juga mencerminkan komitmen UniMAP untuk terus menghargai sumbangan graduan sebagai sebahagian daripada komuniti universiti, selain menjadikan kejayaan mereka sebagai inspirasi kepada generasi mahasiswa seterusnya.















