Advertisement

Layar Opera Production Juara Kategori Filem Pendek, Terima Anugerah Khas Impak Warisan DICE 4.0

PUTRAJAYA, 19 Nov – Layar Opera Production, pasukan usahawan siswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT), membuktikan bakat dan kreativiti mahasiswa universiti itu mampu menyerlah dalam bidang seni kreatif apabila merangkul juara Kategori Filem Pendek dan menerima Anugerah Khas Impak Warisan pada Program Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 sempena Festival Idea Putrajaya 2026.

Kejayaan merangkul juara Kategori Filem Pendek pada 18 November itu melayakkan pasukan berkenaan membawa pulang wang tunai RM7,000 berserta sijil dan trofi.

Selain itu, Layar Opera Production turut menerima Dana Syarikat Pemula berjumlah RM2,000 daripada CLore Hair & Beauty serta hadiah bernilai RM5,300 daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Singgraph Asia 2026.

Pasukan itu turut menerima Anugerah Khas Impak Warisan DICE hari ini sebagai satu lagi pengiktirafan terhadap penyertaan mereka dalam program berkenaan.

Naib Canselor UMT, Profesor Dr Suriyani binti Muhamad, berkata kejayaan itu merupakan satu pencapaian yang membanggakan universiti dan mencerminkan keupayaan mahasiswa untuk menyerlah melalui bakat, kreativiti serta idea inovatif dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata penyertaan mahasiswa dalam program seumpama itu penting bagi memberikan pendedahan kepada mereka untuk mengembangkan potensi diri, membina keyakinan dan meneroka peluang keusahawanan di luar bidang akademik.

“Pencapaian ini diharapkan menjadi inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa untuk berani mencuba, mengetengahkan idea kreatif serta merebut peluang dalam bidang keusahawanan dan inovasi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata kejayaan berkenaan membuktikan mahasiswa universiti itu mempunyai bakat dan kreativiti tinggi walaupun UMT tidak mempunyai fakulti khusus dalam bidang seni kreatif.

“Ini menunjukkan bahawa bakat mahasiswa tidak terhad kepada bidang pengajian yang ditawarkan di universiti. Walaupun UMT tidak mempunyai fakulti seni kreatif, mahasiswa kita mampu membuktikan kebolehan dan kreativiti mereka sehingga berjaya meraih pengiktirafan menerusi pertandingan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata pencapaian itu membuktikan mahasiswa mempunyai potensi untuk meneroka bidang di luar pengkhususan akademik masing-masing, khususnya dalam industri kreatif dan keusahawanan digital.

Menurutnya, penglibatan dalam program seumpama itu turut memberikan ruang kepada mahasiswa untuk mengembangkan bakat, membina keyakinan diri serta mengasah kemahiran yang diperlukan dalam industri.

Kejayaan Layar Opera Production itu sekali gus memperlihatkan potensi mahasiswa UMT untuk bersaing dalam industri kreatif dan digital, selain membuktikan bahawa kreativiti serta bakat boleh dikembangkan merentasi bidang pengajian.

Menurutnya, penglibatan dalam program seumpama itu turut memberikan ruang kepada mahasiswa untuk mengembangkan bakat, membina keyakinan diri serta mengasah kemahiran yang diperlukan dalam industri.

Beliau berharap kejayaan Layar Opera Production dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa UMT untuk berani mengetengahkan idea kreatif dan inovatif serta meneroka peluang dalam bidang keusahawanan.

Kejayaan itu sekali gus memperlihatkan potensi mahasiswa UMT untuk bersaing dalam industri kreatif dan digital, selain membuktikan bahawa kreativiti serta bakat boleh dikembangkan merentasi bidang pengajian.

Total Views: 4