Oleh: Muhammad Khairul Azman Abdul Aziz
SHAH ALAM, 17 November 2026 – Pusat Kebudayaan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menerima kunjungan delegasi Unit Kebudayaan dan Warisan, Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan, Politeknik Premier Kota Bharu, Kelantan sempena Lawatan Penandaarasan yang berlangsung pada 17 November 2026.
Delegasi Politeknik Premier Kota Bharu terdiri daripada 10 orang pensyarah dan staf serta 16 orang pelajar yang diketuai oleh Ts. Muzimah Aida Md Mustafa. Lawatan ini bertujuan memperkasakan lagi peranan dan fungsi Unit Kebudayaan dan Warisan Politeknik Premier Kota Bharu (PKB), di samping mendapatkan pendedahan berkaitan pengurusan, pembangunan serta pengembangan aktiviti seni dan kebudayaan di peringkat institusi pengajian tinggi.
Ketibaan delegasi telah disambut dengan sesi ucapan aluan dan perkongsian maklumat berkaitan Pusat Kebudayaan yang disampaikan oleh Ts. Mohd Hafiz Askiak, Koordinator Pusat Kebudayaan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA.

Dalam sesi perkongsian tersebut, pihak Pusat Kebudayaan UiTM telah memberikan penerangan menyeluruh mengenai hala tuju jabatan, struktur organisasi, fungsi dan peranan, pencapaian serta inisiatif strategik dalam memperkukuh ekosistem pembangunan seni dan kebudayaan mahasiswa. Perkongsian turut merangkumi amalan terbaik dalam pengurusan program kesenian, pembangunan bakat mahasiswa, pengurusan kumpulan seni, penyelarasan aktiviti persembahan serta pengoptimuman penggunaan kemudahan dan fasiliti seni.
Lawatan ini turut membuka ruang kepada sesi diskusi dan perkongsian dua hala yang merangkumi aspek hala tuju organisasi, amalan baik, struktur pengurusan, pencapaian, peluang penambahbaikan serta potensi jaringan kolaborasi antara kedua-dua institusi. Perbincangan tersebut menjadi platform penting untuk bertukar pandangan, pengalaman dan idea dalam usaha meningkatkan keberkesanan pengurusan serta pelaksanaan program kebudayaan di institusi pengajian tinggi.
Selain sesi perkongsian, delegasi turut dibawa melawat kemudahan dan fasiliti Pusat Kebudayaan, termasuk studio dan peralatan serta ruang pejabat bagi memberikan gambaran lebih dekat mengenai operasi harian, pengurusan pentadbiran, penyediaan ruang latihan dan sokongan teknikal bagi aktiviti seni persembahan.

Secara keseluruhannya, lawatan penandaarasan ini menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman antara kedua-dua institusi dalam memperkukuh pengurusan kebudayaan serta pembangunan bakat pelajar. Lawatan ini juga diharapkan dapat membuka peluang kerjasama strategik dalam penganjuran program, perkongsian kepakaran dan pelaksanaan aktiviti seni budaya pada masa hadapan.

Pusat Kebudayaan UiTM merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada delegasi Politeknik Premier Kota Bharu atas kunjungan serta perkongsian yang berlangsung. Semoga jalinan ukhuwah dan kerjasama strategik ini terus diperkukuh demi memartabatkan seni, budaya dan warisan di persada pendidikan tinggi negara.













