Berita dan Gambar oleh: PPKKG JHEPA UUM
KLANG, 18 November 2026 – Seramai 23 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) daripada Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) serta Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) telah menyertai satu lawatan industri ke SD Guthrie Berhad, Pulau Carey, Klang.
Lawatan ini merupakan salah satu inisiatif Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), UUM dalam memperluas pendedahan industri kepada pelajar melalui pengalaman pembelajaran secara langsung di persekitaran kerja sebenar. UUM merupakan antara universiti yang terpilih untuk menyertai lawatan industri anjuran SD Guthrie Berhad ini, sekali gus membuka peluang kepada pelajar untuk mengenali dengan lebih dekat operasi dan perkembangan industri perladangan serta pemprosesan kelapa sawit.
Sepanjang lawatan tersebut, para pelajar berpeluang mengikuti beberapa sesi lawatan ke fasiliti operasi SD Guthrie yang merangkumi empat komponen utama, iaitu operasi ladang (Estate Operation), operasi kilang (Mill Operation), teknologi robotik (Robotics) serta operasi loji penghancuran isirung sawit (Kernel Crushing Plant).

Melalui lawatan ke kawasan operasi ladang, para pelajar diberikan gambaran mengenai pengurusan dan pelaksanaan aktiviti perladangan, termasuk proses pengurusan hasil serta operasi di kawasan estet. Seterusnya, lawatan ke bahagian operasi kilang memberikan pendedahan tentang proses pemprosesan buah tandan segar kelapa sawit dan aliran kerja yang terlibat dalam penghasilan produk sawit.
Selain itu, kunjungan ke bahagian robotik turut membuka peluang kepada pelajar untuk melihat penggunaan teknologi dan automasi dalam menyokong operasi industri. Pendedahan ini memperlihatkan bagaimana penerapan teknologi moden dapat membantu meningkatkan kecekapan, ketepatan dan produktiviti dalam pengurusan operasi.
Para pelajar turut dibawa melawat Kernel Crushing Plant bagi memahami proses pemprosesan isirung sawit serta peranannya dalam rantaian nilai industri kelapa sawit. Secara keseluruhannya, pengisian lawatan ini memberikan gambaran menyeluruh tentang proses operasi industri, daripada pengurusan ladang sehingga kepada aktiviti pemprosesan hasil sawit.
Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, pendedahan secara langsung kepada persekitaran industri amat penting dalam membantu pelajar memahami keperluan sebenar dunia pekerjaan serta menghubungkan ilmu yang dipelajari di universiti dengan amalan di tempat kerja.

Menurut beliau, lawatan industri seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar mengenali operasi sesebuah organisasi, malah membantu mereka membina perspektif lebih luas tentang perkembangan teknologi, pengurusan operasi dan peluang kerjaya dalam pelbagai sektor industri.
Beliau turut berharap agar pengalaman tersebut dapat dimanfaatkan oleh para pelajar sebagai persediaan untuk melangkah ke alam pekerjaan serta meningkatkan keyakinan dan kebolehpasaran mereka sebagai bakal graduan.
Penyertaan pelajar daripada tiga pusat pengajian yang berbeza turut memberikan nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran mereka, khususnya dalam memahami hubungan antara bidang ekonomi, kewangan, pengurusan teknologi, logistik dan perakaunan dengan operasi sebenar industri. Pendedahan rentas disiplin ini penting bagi membantu pelajar melihat bagaimana pengetahuan akademik yang dipelajari di universiti diaplikasikan dalam pelbagai fungsi sesebuah organisasi.

PPKKG merakamkan penghargaan kepada pihak SD Guthrie Berhad atas kerjasama dan peluang yang diberikan kepada pelajar UUM untuk menyertai lawatan industri ini. Kerjasama seumpama ini mencerminkan kepentingan hubungan strategik antara universiti dengan pihak industri dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada pelajar.
Inisiatif ini selari dengan usaha berterusan UUM melalui PPKKG untuk memperluas jaringan kerjasama industri, meningkatkan pendedahan kerjaya serta memperkukuh kesediaan graduan menghadapi keperluan dan cabaran pasaran pekerjaan yang semakin dinamik.












