Advertisement

UTHM lonjak kesedaran syariah dan kerjaya mahasiswa dalam bidang Halal

Oleh: Muhamad Amirul Hakim bin Sawal

BATU PAHAT – Kesedaran terhadap kepentingan industri halal dan pembangunan sahsiah mahasiswa terus diperkukuh menerusi pelbagai program anjuran Kluster Elektif Halal, Jabatan Pengurusan dan Teknologi, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Program-program yang dijalankan bukan sahaja memberi penekanan terhadap aspek akademik dan pemahaman syariah, malah turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami realiti sebenar dunia pekerjaan dalam industri halal.

Sebagai pembuka tirai program, Sambutan Hari Raya Kluster Elektif Halal telah berlangsung pada 30 Mac 2026 dengan penuh kemeriahan.

Program tersebut dianjurkan bagi mengeratkan hubungan ukhuwah antara pensyarah dan mahasiswa Kluster Elektif Halal dalam suasana Aidilfitri yang harmoni dan mesra.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Prof. Ts. Dr. Alina binti Shamsuddin bersama para mahasiswa yang hadir memeriahkan sambutan.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kluster Elektif Halal, Jabatan Pengurusan dan Teknologi, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan diadakan pada 30hb Mac 2026

Pada 27 April 2026 pula, satu sesi perkongsian ilmu bertajuk “Halal Itu Pilihan atau Kewajipan?” telah dianjurkan dengan menampilkan Ustazah Sharifah Khadijah binti Syed Abu Bakar sebagai panel jemputan.

Beliau yang merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Islam, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum telah menjelaskan kepentingan memahami konsep halal secara tepat berdasarkan hukum syariah.

Melalui perkongsian tersebut, mahasiswa didedahkan mengenai tanggungjawab individu Muslim dalam memastikan pematuhan halal diamalkan dalam kehidupan dan industri.

Selain itu, program “Alumni Sharing Session: Halal dalam F&B Satu Pengalaman” yang berlangsung pada 4 Mei 2026 turut mendapat sambutan memberangsangkan daripada mahasiswa.

Program tersebut menampilkan alumni Kluster Elektif Halal, Cik Nur Aina Safiyyah binti Razali yang kini berkhidmat sebagai Eksekutif Halal di The Warung Kita.

Bersama CIk Nur Aina Saffiyyah binti Razali (lima daripada kanan), Eksekutif Halal di The Warung Kita

Beliau berkongsi pengalaman serta perjalanan kerjaya dalam bidang halal khususnya dalam industri makanan dan minuman selain memberi motivasi kepada mahasiswa untuk lebih bersedia menghadapi cabaran alam pekerjaan.

Turut hadir memberikan sokongan dalam program tersebut ialah Dr. Norasmiha binti Mohd Nor selaku Pensyarah Kanan Kluster Elektif Halal.

Penganjuran program-program seperti ini membuktikan komitmen Kluster Elektif Halal UTHM dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah mempunyai kesedaran syariah dan kebolehpasaran tinggi dalam industri halal negara.