oleh Suriati Ismail dan Anizan Md Noor
IPOH, 21 Ogos 2026 — Keprihatinan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terhadap kebajikan bakal mahasiswa diteruskan menerusi kunjungan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) TNC (HEP&A), Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, yang menyantuni Sarah Justina a/p Packiaraj, seorang bakal mahasiswa UPSI di Ipoh.

Dalam kunjungan berkenaan, Sarah Justina menerima sumbangan sebanyak RM500.00 daripada UPSI sebagai tanda keprihatinan universiti serta sokongan moral kepada beliau menjelang permulaan pengajian di UPSI.

Sarah Justina merupakan seorang anak yatim yang telah kehilangan bapanya. Situasi tersebut menjadikan perjalanan beliau untuk melangkah ke alam pengajian tinggi lebih bermakna, namun pada masa yang sama hadir bersama cabaran tersendiri buat keluarga.
Menyedari keperluan dan keadaan yang dihadapi oleh pelajar, UPSI melalui HEP&A mengambil pendekatan untuk turun padang dan mendekati bakal mahasiswa secara langsung. Usaha ini menjadi sebahagian daripada komitmen universiti untuk memastikan aspek kebajikan pelajar tidak dipinggirkan dalam mengejar kecemerlangan akademik.

Prof. Norkhalid berkata, keprihatinan terhadap pelajar perlu diterjemahkan melalui tindakan dan sokongan yang dapat memberikan mereka keyakinan untuk meneruskan pengajian.
“Setiap pelajar mempunyai kisah dan perjalanan hidup yang berbeza. Sebagai sebuah universiti yang prihatin, kita mahu Sarah Justina tahu bahawa UPSI sentiasa bersedia menjadi sebahagian daripada sistem sokongan beliau. Kehilangan seorang ayah bukan sesuatu yang mudah, tetapi kita berharap bantuan ini dapat menjadi tanda bahawa beliau tidak bersendirian dalam melangkah ke alam pengajian tinggi.”
Beliau berkata, peranan HEPA bukan sekadar memastikan urusan pelajar berjalan lancar sepanjang berada di kampus, malah turut merangkumi usaha memahami keperluan dan latar belakang pelajar supaya sokongan yang bersesuaian dapat diberikan.
“Kita tidak mahu pelajar melihat kekangan hidup sebagai alasan untuk berhenti mengejar impian. Sebaliknya, kita mahu mereka melihat pendidikan sebagai jalan untuk membina masa depan. UPSI akan terus berusaha mewujudkan persekitaran yang menyokong pelajar, termasuk mereka yang datang daripada latar belakang yang memerlukan perhatian dan sokongan.”
Penyerahan sumbangan tersebut diharapkan dapat membantu Sarah Justina membuat persiapan awal sebelum memulakan kehidupan sebagai mahasiswa selain memberikan suntikan semangat untuk beliau menghadapi fasa baharu dalam perjalanan Pendidikan di UPSI












