Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien
KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2026 – Pasukan Debat Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya meraih tempat ketiga bersama dalam Pertandingan Debat Piala Ketua Audit Negara (PKAN) 2026 yang menghimpunkan 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari seluruh negara.
Pertandingan anjuran Jabatan Audit Negara (JAN) itu berlangsung pada 13 hingga 15 Ogos 2026, dengan pusingan awal diadakan di Akademi Audit Negara manakala pusingan akhir berlangsung di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
Sepanjang pusingan awal, para peserta berentap dalam format Debat Ala Parlimen dengan UiTM mempamerkan prestasi konsisten sehingga berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan pasukan terbaik untuk mara ke peringkat suku akhir.

UiTM kemudiannya meneruskan saingan sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum menamatkan pertandingan di tempat ketiga bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kejayaan tersebut menyaksikan pasukan UiTM membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.
Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul sebagai johan pertandingan selepas berentap dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam pusingan akhir, manakala UIAM dinobatkan sebagai naib johan.
Bertemakan “120 Tahun Jabatan Audit Negara: Memacu Akauntabiliti, Membina Generasi MADANI Berintegriti”, penganjuran edisi sulung PKAN 2026 menjadi platform kepada mahasiswa untuk mengetengahkan pemikiran kritis dan kemahiran berhujah, di samping meningkatkan kefahaman mengenai aspek akauntabiliti, tadbir urus serta pengurusan wang awam.
Majlis Perasmian Penutupan PKAN 2026 telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul di Bangunan Parlimen. Turut hadir Ketua Audit Negara, YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi serta wakil kementerian, institusi dan pengurusan kanan Jabatan Audit Negara.












