Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien
ARAU, 19 Ogos 2026 – Tiga mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya meraih pingat emas dalam Anugerah Inovasi Pemerkasaan Mahasiswa SIGMA 2026 bagi Kategori Pembangunan Mahasiswa Holistik sempena Simposium Agenda Pemerkasaan Mahasiswa Kebangsaan (SIGMA) 2026 yang berlangsung di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Perlis.
SIGMA 2026 yang berlangsung selama dua hari pada 18 hingga 19 Ogos 2026 merupakan platform kebangsaan yang menghimpunkan mahasiswa bagi mengetengahkan idea, inovasi dan inisiatif berkaitan pemerkasaan serta pembangunan mahasiswa. Seramai 16 mahasiswa mewakili UiTM dalam simposium berkenaan.
Kumpulan yang meraih pingat emas terdiri daripada tiga mahasiswa UiTM Cawangan Selangor, iaitu Adriana Zulaikha Che Ad dari Fakulti Alam Bina, Muhammad Iman Zulkifli dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan serta Laila Balqis Wadhhah Irwan Hanafiz dari Fakulti Sains Kesihatan.

Mereka mengetengahkan inisiatif Seminar Usahawan MADANI Mega (SUM-MEGA 2026), sebuah program keusahawanan berskala nasional yang berjaya menghimpunkan 6,877 penyertaan mahasiswa, sekali gus melebihi sasaran awal seramai 5,000 peserta.

Penganjuran SUM-MEGA 2026 turut menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records menerusi kategori “Largest Student Participation in an Entrepreneurship Seminar”, sekali gus memperlihatkan skala penyertaan mahasiswa yang berjaya dicapai menerusi pelaksanaan program tersebut.
Turut hadir pada Majlis Perasmian SIGMA 2026 ialah YBrs. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM. Kehadiran beliau mencerminkan sokongan kepimpinan universiti terhadap penyertaan dan penglibatan mahasiswa UiTM dalam platform pemerkasaan mahasiswa di peringkat kebangsaan.

Kejayaan ini mencerminkan keupayaan mahasiswa UiTM mengetengahkan inisiatif yang memberi impak serta bersaing di peringkat kebangsaan. Penglibatan dalam platform seperti SIGMA 2026 turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk memperkukuh kreativiti, kepimpinan, kemahiran komunikasi dan pemikiran inovatif sebagai sebahagian daripada pembangunan mahasiswa secara holistik.












