Advertisement

Tartaruga, Wildcats HC Rangkul Gelaran Juara UMT Open Handball Championship 2026

KUALA NERUS, 1 NOVEMBER – Pasukan Tartaruga dan Wildcats HC membuktikan keunggulan masing-masing apabila dinobatkan sebagai juara kategori lelaki dan wanita pada Kejohanan UMT Open Handball Championship 2026 yang melabuhkan tirainya di Kompleks Sukan dan Rekreasi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober lalu itu berjaya menghimpunkan lebih 400 pemain menerusi penyertaan 28 pasukan, merangkumi 16 pasukan lelaki dan 12 pasukan wanita, sekali gus menjadikannya antara platform kompetitif bagi mencungkil bakat serta mengembangkan potensi sukan bola baling.

Penganjuran oleh UMT Scorpions Handball Club itu turut mendapat sokongan Majlis Sukan Negeri Terengganu, Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Dalam saingan kategori lelaki, Tartaruga muncul juara, manakala AURA7 terpaksa berpuas hati di tempat kedua. IPGM menduduki tempat ketiga, diikuti SSTBN BOYS di tempat keempat.

Bagi kategori wanita pula, Wildcats HC mempamerkan aksi cemerlang untuk merangkul gelaran juara, manakala Titan Ladies menduduki tempat kedua. Ahaganik HC dan Redlions Girls masing-masing berada di kedudukan ketiga dan keempat.

Di sebalik kemeriahan gelanggang dan kehangatan persaingan memburu kejuaraan, kejohanan ini turut menampilkan satu lagi pencapaian membanggakan apabila mahasiswa diberi kepercayaan menerajui pengurusan sebuah program sukan berskala besar yang menuntut komitmen, ketelitian serta keupayaan kepimpinan yang tinggi.

Pengarah Program, Nur Liyana Aqilah binti Mohamad Asri, pelajar Tahun Dua Sarjana Muda Kewangan Dengan Kepujian UMT, menyifatkan tanggungjawab mengendalikan kejohanan yang melibatkan lebih 400 pemain itu sebagai pengalaman cukup bermakna dan menjadi medan pembelajaran sebenar dalam menguji keupayaan dirinya sebagai seorang pemimpin mahasiswa.

Menurutnya, proses merancang dan merealisasikan kejohanan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana pelbagai cabaran perlu ditempuh, khususnya dalam aspek pengurusan organisasi, penyelarasan jawatankuasa serta memastikan kelancaran keseluruhan pertandingan.

“Alhamdulillah, walaupun terdapat pelbagai cabaran dan perkara di luar jangkaan sepanjang mengendalikan kejohanan ini, hasil kerjasama, komitmen dan usaha seluruh jawatankuasa pelaksana serta sokongan daripada semua pihak, program ini berjaya dilaksanakan dengan lancar sehingga ke penghujungnya.

“Pengalaman ini benar-benar mengajar saya bahawa mengendalikan program berskala besar bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, setiap cabaran yang dihadapi memberikan pengalaman dan pembelajaran baharu yang pastinya akan menjadi bekalan berguna untuk masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan penganjuran kejohanan berkenaan bukanlah bersandarkan keupayaan individu semata-mata, sebaliknya lahir daripada kesepaduan tekad, semangat kerja berpasukan dan komitmen seluruh jawatankuasa pelaksana, sukarelawan serta sokongan rakan strategik.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Izani Mohd Zain.

Penganjuran UMT Open Handball Championship 2026 bukan sekadar medan menguji kehebatan dan kecemerlangan atlet di gelanggang, malah menjadi wahana penting dalam membentuk karakter, memperkukuh jati diri serta menggilap bakat kepimpinan mahasiswa melalui pengalaman mengurus dan mengendalikan acara sukan pada skala yang lebih besar.

Lebih signifikan, penganjuran seumpama ini mencerminkan komitmen UMT untuk menjadikan sukan sebagai instrumen pembangunan mahasiswa yang holistik, bukan sahaja melahirkan atlet berprestasi tinggi, tetapi turut membentuk generasi mahasiswa yang berdaya kepimpinan, berkemahiran, berdaya tahan dan mampu mencipta nilai dalam masyarakat.

Sesungguhnya, kejayaan sesebuah kejohanan tidak hanya diukur melalui siapa yang berdiri di podium kemenangan, tetapi juga sejauh mana pengalaman yang diraih mampu membentuk mahasiswa menjadi pemimpin yang berwibawa dan pencetus kejayaan pada masa hadapan.

Total Views: 33