Advertisement

UTM perkasa kefahaman komuniti tentang hak anak dan keibubapaan

Oleh : Dr. Nasiibah Ramli

JOHOR BAHRU, 19 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Akademi Tamadun Islam (ATI), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), dengan kerjasama Biro Hal Ehwal Wanita (HELWA), Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU), menganjurkan Program Siri 1: Kehamilan, Hak Anak dan Persediaan Keibubapaan pada 17 Oktober 2026 bagi memperkukuh kefahaman masyarakat tentang hak anak serta tanggungjawab ibu bapa.

Berlangsung di Bilik Mesyuarat MJBBU, program bertemakan “Menjadi Ibu Bapa Berilmu: Hak Anak Bermula Sejak Dalam Kandungan” itu menggabungkan perspektif syariah, psikologi, undang-undang keluarga Islam dan kesihatan. Pengisian program memberi tumpuan kepada persediaan pasangan suami isteri dan bakal ibu bapa dalam menjaga kebajikan anak sejak dalam kandungan hingga peringkat tumbesaran.

Dr. Muhammad Dhiauddin Ahmad Termizi mempengerusikan Program Siri 1: Kehamilan, Hak Anak dan Persediaan Keibubapaan

Program ini merupakan sebahagian daripada projek “Pemerkasaan Kefahaman Hak Anak dan Pengetahuan Kesihatan Emosi serta Jasmani Keluarga” di bawah Program Pemindahan Ilmu – Geran Teknologi Penyelidikan (KTP-RIG) UTM, yang diketuai oleh Dr. Nasiibah Ramli. Projek ini bertujuan menyampaikan kepakaran universiti kepada komuniti melalui pendidikan keluarga yang menghubungkan ilmu syariah dengan aspek emosi dan kesihatan ibu bapa serta anak.

Pengisian dimulakan dengan ceramah “Hak Anak dari Perspektif Syariah” oleh Dr. Nasiibah, pensyarah ATI, yang menghuraikan hak anak dan tanggungjawab ibu bapa sebelum serta selepas kelahiran. Berpandukan maqasid al-syariah, beliau menjelaskan kepentingan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta dalam memastikan kebajikan anak terpelihara. Aspek yang ditekankan termasuk pendidikan agama dan akhlak, keselamatan, kesihatan, perkembangan intelek, pemeliharaan nasab serta perlindungan kepentingan kewangan anak.

Dr. Nasiibah Ramli menyampaikan ceramah bertajuk “Hak Anak dari Perspektif Syariah”

Program diteruskan dengan forum interaktif “Mitos atau Realiti dan Cabaran Menjadi Ibu Bapa” yang menampilkan Dr. Nadhirah Muhamad Arib, pensyarah UTM dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling; Roslina Sabiyah, pengamal undang-undang syariah daripada firma Roslina Sabiyah & Co.; serta Dr. Sakinah Sulong daripada Medical MythBusters Malaysia.

Forum tersebut membincangkan pelbagai isu keibubapaan, termasuk pantang larang ketika kehamilan, tanggungjawab nafkah anak selepas perceraian, pengurusan emosi kanak-kanak dan pendekatan disiplin dalam keluarga. Perkongsian panel membantu peserta menilai kepercayaan yang diwarisi serta membezakan maklumat kesihatan berasaskan bukti daripada mitos yang beredar dalam masyarakat.

Panel membincangkan mitos dan cabaran dalam keibubapaan menerusi sesi forum interaktif

Perbincangan turut menyentuh keputusan pasangan untuk menangguhkan kehamilan atau memilih kehidupan tanpa anak, dengan mengambil kira kesediaan emosi, pengalaman zaman kanak-kanak, faktor kesihatan dan kesuburan serta hak dan tanggungjawab suami isteri menurut perspektif undang-undang keluarga Islam.

Secara keseluruhannya, program menekankan bahawa persediaan keibubapaan bukan sahaja melibatkan aspek kehamilan dan kelahiran, malah merangkumi kesiapsiagaan emosi, kesihatan fizikal, kefahaman tentang hak anak serta keupayaan menyediakan persekitaran yang selamat dan penyayang.

Peserta bersama panel, wakil HELWA MJBBU dan jawatankuasa penganjur selepas program

Peserta turut berpeluang mengunjungi reruai interaktif yang dikendalikan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Johor Bahru, yang menyediakan maklumat berkaitan kesihatan dan perancangan keluarga.

Kerjasama antara UTM, HELWA MJBBU, pengamal undang-undang, profesional kesihatan dan LPPKN memperluas akses komuniti kepada maklumat daripada sumber berautoriti, di samping mengukuhkan peranan masjid sebagai ruang pendidikan keluarga yang menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan masyarakat.

Barisan panel dan jawatankuasa penganjur Program Siri 1: Kehamilan, Hak Anak dan Persediaan Keibubapaan

Penganjuran siri pertama ini menjadi sebahagian daripada usaha pendidikan komuniti untuk membentuk ibu bapa yang berilmu, bertanggungjawab dan peka terhadap kebajikan anak serta pembangunan generasi masa hadapan.

Sumber : UTM NewsHub

Total Views: 1