Advertisement

Sistem E-Undi Dibuka: Mahasiswa UPSI Mula Buang Undi Pilih Barisan MPP 2026/2027

Oleh: Izani Hazima

TANJONG MALIM, 28 OKTOBER 2026 — Proses demokrasi kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula secara rasmi hari ini susulan pelancaran Sistem Undian Dalam Talian bagi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sidang 2026/2027.

Pelancaran sistem e-undi tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, sekali gus menandakan bermulanya Hari Pemilihan MPP bagi menentukan barisan kepimpinan baharu yang bakal membawa mandat dan suara mahasiswa universiti berkenaan.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun; Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed: dan Ketua Timbalan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Maskana Ahmad.

Bagi memastikan akses pengundian yang inklusif dan lancar, pertubuhan pengurusan pilihan raya kampus, Campus Election Organization (CEO) UPSI, turut menyediakan pusat pengundian secara fizikal di beberapa lokasi strategik selain platform dalam talian. Pendekatan hibrid ini memberi kemudahan dan fleksibiliti kepada mahasiswa untuk menunaikan tanggungjawab mengundi tanpa kekangan.

Pemilihan MPP kali ini bukan sekadar rutin tahunan, sebaliknya menjadi platform penting yang menghubungkan aspirasi penuntut dengan pengurusan tertinggi universiti dalam merangka hala tuju kebajikan serta pemerkasaan modal insan kampus.

Sehubungan itu, seluruh warga mahasiswa UPSI diseru memanfaatkan hak perlembagaan kampus masing-masing dengan membuat pilihan yang bijak, matang, dan berintegriti.

Setiap undi yang dizahirkan hari ini merupakan cerminan suara mahasiswa dalam mencorak kepimpinan MPP Sidang 2026/2027 yang berwibawa demi kemaslahatan warga kampus secara menyeluruh.

Total Views: 14