Advertisement

UK FIT 2.0 2026 Semarakkan Gaya Hidup Sihat, Perkukuh Kesejahteraan Warga USM

Oleh: Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM

USM, PULAU PINANG, 31 Oktober 2026 – UK FIT 2.0 2026 anjuran Unit Kaunseling, BHEPA USM menjadi antara acara kemuncak Sambutan Bulan Kaunseling Peringkat USM, dengan menghimpunkan warga universiti dalam aktiviti fizikal yang menggalakkan gaya hidup aktif, meningkatkan kesejahteraan emosi serta memupuk semangat kebersamaan.

Program yang berlangsung di Kompleks Cahaya Siswa USM itu berjaya menarik penyertaan lebih 400 orang peserta yang terdiri daripada warga universiti, sekali gus mencerminkan sambutan positif terhadap usaha membudayakan gaya hidup sihat dan kesejahteraan diri dalam komuniti kampus.

Lebih menceriakan suasana, laluan UK FIT 2.0 2026 turut diserikan dengan beberapa hentian yang menyediakan juadah makanan dan minuman kepada peserta, menjadikan aktiviti berjalan kaki tersebut lebih interaktif, santai dan menyeronokkan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, dalam ucapan perasmian penutup menyifatkan aktiviti fizikal sebagai antara kaedah yang dapat membantu mengurangkan ketegangan, memberi ruang kepada minda untuk berehat serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesihatan diri.

“Dalam kesibukan mengejar tugasan, menghadiri kuliah dan memenuhi tanggungjawab pekerjaan, kita kadangkala terlupa bahawa tubuh dan minda juga memerlukan perhatian,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Unit Kaunseling BHEPA USM, Puan Raja Salwati Binti Raja Othman, Ketua Pegawai Psikologi Unit Kaunseling BHEPA USM merangkap Ketua Penyelaras Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat BHEPA, Encik Ahmad Anwar Bin Omar, serta Pegawai Psikologi Unit Kaunseling BHEPA USM merangkap Penyelaras Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan, Encik Mohammad Zafran Mohd Rafa’ai.

Penganjuran UK FIT 2.0 2026 turut mencerminkan komitmen berterusan USM dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, khususnya melalui usaha membudayakan kehidupan aktif, memperkukuh kesejahteraan emosi dan mewujudkan persekitaran kampus yang lebih sihat.

Total Views: 2