BATU PAHAT – Kreativiti dan inovasi mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus menyerlah di pentas antarabangsa apabila tiga pelajar tahun akhir Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT) berjaya merangkul Anugerah Emas (Gold Award) dalam International Undergraduate Innovation Competition (IUIC) 2026.
Kejayaan membanggakan itu diraih oleh Nurhadiani binti Wan Zulkifli, Nur Farhana Hidayah binti Hanizaruddin dan Nor Aznie Anastasia binti Mohd Azlan, yang merupakan pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Reka Bentuk Produk) dengan Kepujian.
Pertandingan anjuran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu berlangsung pada 26 hingga 27 Oktober 2026, menghimpunkan penyertaan yang mengetengahkan idea kreatif, inovasi serta penyelesaian berasaskan teknologi dalam kalangan mahasiswa.
Pencapaian ini membuktikan bahawa mahasiswa UniSZA bukan sahaja mampu menguasai ilmu dalam bidang pengajian, malah berupaya menterjemahkan pengetahuan akademik kepada idea inovatif yang mempunyai nilai tambah dan daya saing di peringkat antarabangsa.
Lebih membanggakan, kejayaan ketiga-tiga mahasiswi ini turut mencerminkan potensi besar bakat muda UniSZA sebagai pencetus idea, peneraju inovasi dan penyumbang kepada pembangunan teknologi masa hadapan.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada ketiga-tiga mahasiswi serta seluruh warga FRIT atas pencapaian cemerlang ini. Semoga kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa UniSZA untuk terus berani berkarya, meneroka idea baharu dan mengharumkan nama universiti di persada dunia.













