Oleh: Sarah Nur Batrisyia Khairulanuar
KUALA KUBU BHARU, 30 Oktober 2026 – Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba (MMKZ), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gedangsa Kuala Kubu Bharu, Selangor serta Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) telah menganjurkan Sekolahku Universitiku 20.0: Kem Kepimpinan Muda 2026 yang berlangsung pada 29 hingga 30 Oktober 2026 bertempat di YBK Global Camp, Kampung Gesir Tengah.

Program selama dua hari satu malam ini memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan murid menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, aktiviti berkumpulan, refleksi kendiri dan penyelesaian masalah. Program ini turut dirangka bagi membentuk pemimpin muda yang berwibawa, bertanggungjawab, berintegriti serta mempunyai kemahiran komunikasi dan interpersonal yang baik. Sepanjang pelaksanaan program, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang menguji keupayaan mereka dalam aspek kepimpinan, komunikasi, kerjasama dan keyakinan diri. Antara pengisian utama ialah Modul 1: Kenali Diri, Kenali Gaya Kepimpinan, diikuti Modul 2: Lead the Team (Kepimpinan dalam Tindakan) dan Modul 3: Lead with Heart (Amanah, Empati dan Komitmen).
Aktiviti yang dilaksanakan bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk memahami konsepkepimpinan secara teori, malah membolehkan mereka mengaplikasikan kemahiran tersebut dalam situasi sebenar melalui aktiviti interaktif dan kerja berpasukan. Pendekatan ini secara tidak langsung memupuk nilai toleransi, kepercayaan, tanggungjawab serta keupayaan membuat keputusan dalam kalangan peserta.

Turut menjadi pengisian yang mencabar ialah Aktiviti Laluan Berhalang: Cabaran Kepimpinan, Kerjasama dan Kepercayaan yang menguji kekuatan fizikal dan mental peserta. Aktiviti ini memberi pengalaman kepada peserta untuk bekerjasama dalam kumpulan, menyusun strategi dan saling memberikan sokongan bagi menyelesaikan cabaran yang diberikan
Pada sebelah malam pula, peserta mengikuti modul “Pemimpin yang Saya Mahu Jadi” yang memberi ruang kepada mereka untuk mengenal pasti ciri-ciri pemimpin yang ingin dibentuk dalam diri masing-masing. Sesi ini turut membuka ruang kepada peserta untuk melakukan refleksi terhadap potensi, kekuatan serta tanggungjawab mereka sebagai pemimpin muda di sekolah.

Hari kedua program diteruskan dengan aktiviti fizikal dan sesi pengukuhan yang memberi penekanan terhadap pengalaman serta pembelajaran yang diperoleh sepanjang kem. Sesi refleksi turut diadakan bagi mendapatkan maklum balas peserta dan membantu mereka menghubungkan pengalaman sepanjang program dengan peranan kepimpinan yang bakal digalas.
Pelaksanaan SKUK 20.0: Kem Kepimpinan Muda 2026 selaras dengan objektif untuk memperkukuh hubungan antara UPSI dengan pihak sekolah, di samping meningkatkan kemahiran kepimpinan, komunikasi, kerjasama dan keyakinan diri dalam kalangan murid. Program ini juga memberi penekanan terhadap pembentukan pemimpin muda yang berintegriti, berempati, bertanggungjawab dan mempunyai komitmen untuk melaksanakan peranan kepimpinan secara positif.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya menyediakan satu platform pembelajaran yang bermakna kepada peserta melalui gabungan aktiviti fizikal, pembelajaran tidak formal, kerja berpasukan dan refleksi kendiri. Diharapkan pengalaman yang diperoleh sepanjang SKUK 20.0 dapat menjadi asas kepada pembentukan barisan pemimpin muda yang lebih yakin, berdaya saing dan mampu memberikan sumbangan positif kepada komuniti sekolah serta masyarakat pada masa akan datang.












