Advertisement

University To Community (UTC) 3.0 Cipta Kejayaan, 18 IPT Raih Penarafan Tunas Perusahaan Sosial

Oleh: Nur Nabilah Nazri

Tanjung Malim, 29 Oktober 2026 – Program University to Community (UTC) 3.0 mencatat pencapaian membanggakan apabila 18 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berjaya memperoleh Penarafan Tunas Perusahaan Sosial (Aspiring Social Enterprise) menerusi kerjasama strategik dengan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Pencapaian tersebut diumumkan sempena Majlis Perasmian Penutupan UTC 3.0 yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Penarafan Tunas Perusahaan Sosial merupakan tahap pertama dalam sistem penarafan perusahaan sosial di Malaysia yang mengiktiraf perniagaan yang bukan sahaja berorientasikan keuntungan, malah mempunyai misi sosial atau alam sekitar yang jelas dalam menangani cabaran komuniti.

Kejayaan 18 IPT ini membuktikan potensi mahasiswa dalam membangunkan perusahaan sosial yang menggabungkan elemen keusahawanan, inovasi dan tanggungjawab sosial bagi mewujudkan manfaat kepada masyarakat.

Program UTC 3.0 yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama UPSI melibatkan penyertaan 21 IPT, 84 mahasiswa dan 21 mentor dalam membangunkan projek keusahawanan sosial bersama komuniti terpilih.

Melalui pelaksanaan program ini, mahasiswa bukan sahaja didedahkan kepada pengalaman menguruskan perniagaan sebenar, malah berpeluang memindahkan ilmu dan kemahiran kepada komuniti bagi membantu meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan ekonomi setempat.

Kerjasama strategik bersama INSKEN di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan kapasiti serta meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan perusahaan sosial yang mampan.

Kejayaan 18 IPT ini sekali gus mencerminkan keberkesanan sinergi antara institusi pendidikan tinggi dan agensi pembangunan keusahawanan dalam melahirkan generasi usahawan sosial yang inovatif, berdaya saing dan berupaya memberikan impak positif kepada komuniti.

Pencapaian ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif perusahaan sosial dalam kalangan mahasiswa, sekali gus memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi sebagai peneraju pembangunan sosioekonomi masyarakat secara inklusif dan mampan.

Total Views: 3