Advertisement

SAPSP UUM Perkukuh Jaringan Akademik Dan Khidmat Komuniti Antarabangsa Menerusi G-LEAD 2.0 Di Indonesia – MySiswaNow

Berita dan Gambar oleh SAPSP UUM

Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan universiti menerusi penganjuran SAPSP Global Leadership Mobility Outbound Programme (G-LEAD 2.0) dengan kerjasama Universitas Airlangga (UNAIR), Surabaya, Indonesia dari 5 hingga 9 November lalu.

Delegasi UUM yang diketuai oleh Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Zarina Mat Saad, manakala Pengarah Program G-LEAD 2.0, Dr. Norazlina Zakaria turut disertai oleh 12 pelajar SAPSP yang merangkumi dua pelajar Doktor Falsafah (PhD), lapan pelajar peringkat Sarjana, serta dua Exco Persatuan Pelajar Kaunseling (PERKAP).

Penyertaan pelbagai peringkat pengajian ini membuka ruang luas perkongsian ilmu, pembangunan kepimpinan, pengukuhan kemahiran komunikasi silang budaya, dan pengalaman pembelajaran antarabangsa melalui pengisian akademik, pertukaran budaya, serta khidmat komuniti yang berimpak tinggi.

Antara pengisian utama program ialah sesi syarahan akademik melibatkan wakil institusi dari UUM, UNAIR, dan Vellore Institute of Technology (VIT), India. Prof. Madya Dr. Zarina turut diundang menyampaikan syarahan khas sebagai platform perkongsian kepakaran akademik peringkat serantau.

Mengulas mengenai penganjuran program ini, Dr. Zarina berkata, inisiatif mobiliti global seperti G-LEAD 2.0 adalah wadah penting dalam melahirkan graduan minda kelas pertama yang mampu menterjemahkan teori bilik kuliah kepada penyelesaian isu-isu kemanusiaan di peringkat rentas sempadan.

Program ini bukan sahaja platform perkongsian kepakaran akademik serantau, malah ia menzahirkan komitmen SAPSP dalam membina jaringan strategik antarabangsa serta melahirkan modal insan yang berdaya saing, berempati tinggi, dan kalis cabaran global.

Program ini turut mengetengahkan sesi wacana ilmiah berkaitan amalan kaunseling di Malaysia dan Indonesia yang dikendalikan bersama oleh Dr. Norazlina dan Prof. Dr. Nurul Hartini, S.Psi., M.Kes., Psikolog dari UNAIR.

Perbincangan tersebut memberi pendedahan mendalam mengenai perbandingan pendekatan kaunseling, etika profesional, dan kepekaan silang budaya dalam konteks kedua-dua negara.

Selain aktiviti dalam kampus, delegasi SAPSP turut meluaskan jaringan khidmat komuniti bersama Yayasan Arunika di Malang pada 7 November lalu yang merangkumi sesi perkongsian ilmu mengenai Brief Therapy (Terapi Singkat) bagi memperkasakan sokongan psikososial komuniti setempat.

Siri jelajah komuniti diteruskan pada 9 November di SMA Muhammadiyah 2 Surabaya melalui program syarahan kemahiran menolong dan latihan dalam kumpulan yang memfokuskan kepada pemerkasaan amalan kaunseling rakan sebaya.

Menerusi program ini, para peserta UUM berpeluang membimbing pelajar sekolah menengah sebagai fasilitator, sekali gus mengaplikasikan kemahiran komunikasi interpersonal, empati, dan kepimpinan global.

Sesi refleksi program merumuskan bahawa inisiatif ini berjaya memperluas ufuk pemikiran peserta, meningkatkan keyakinan diri, memupuk kebolehsuaian persekitaran baharu, serta mendalami kefahaman terhadap kepelbagaian budaya. Lawatan akademik ke kampus UNAIR serta lawatan sambil belajar ke Muzium Etnografi dan Pusat Kajian Kematian turut memperkayakan perspektif peserta mengenai hubung kait antara budaya, psikologi, dan kesejahteraan manusia.

Secara keseluruhannya, kejayaan penganjuran G-LEAD 2.0 bukan sahaja memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik antara UUM dan institusi luar negara, malah menyokong kuat hasrat SAPSP dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing tinggi, serta peka terhadap keperluan masyarakat global.

Total Views: 1