PUTRAJAYA, 18 November 2026 – Kreativiti, bakat dan semangat keusahawanan digital mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus mencuri perhatian apabila pasukan Citrakala Enterprise berjaya merangkul Pingat Emas dalam Program Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 Peringkat Antarabangsa yang berlangsung pada 16 hingga 19 November 2026 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya.
Kejayaan membanggakan itu diraih menerusi kemenangan dalam Kategori Filem Pendek, sekali gus membuktikan keupayaan mahasiswa Fakulti Informatik dan Komputeran (FIK), UniSZA Kampus Besut dalam menggabungkan kreativiti, kemahiran teknologi digital dan potensi keusahawanan bagi menghasilkan produk kreatif yang berdaya saing.

Lebih membanggakan, Citrakala Enterprise merupakan syarikat pemula niaga (start-up) di bawah UniSZA Digital Hub (UDH) yang diterajui oleh empat mahasiswa berbakat, iaitu Tengku Mohamad Afham bin Tengku Zakaria, Muhammad Akmal Hazim bin Elmi, Siti Fatimah binti Abdul Haffidz dan Syaffiya Adyani binti Mohd Affandee, dengan bimbingan Ts. Norkhairani binti Abdul Rawi selaku mentor.
Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan meraih pengiktirafan di pentas antarabangsa, malah menjadi bukti bahawa mahasiswa UniSZA mempunyai potensi besar untuk mengembangkan bakat dalam industri kreatif digital serta menterjemahkan idea inovatif kepada produk yang mempunyai nilai komersial.
Dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Pusat Kerjaya, Teknousahawan dan Jaringan Pintar (PaKaT), UniSZA, DICE 4.0 mengetengahkan tema “WARISAN” dengan tema keseluruhan “From Creative Product to Market-Ready Innovation” sebagai platform memperkasa kreativiti, inovasi dan keusahawanan digital dalam kalangan mahasiswa.
Penyertaan dalam program berprestij ini turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk menguji keupayaan, memperluas jaringan industri, berkongsi idea serta mendapatkan pendedahan terhadap potensi pengkomersialan produk kreatif dalam landskap ekonomi digital.
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.
Kejayaan Citrakala Enterprise membuktikan bahawa mahasiswa bukan sekadar penerima ilmu di bilik kuliah, sebaliknya mampu menjadi pencipta, peneraju inovasi dan usahawan muda yang membawa nama universiti ke peringkat lebih tinggi.
Syabas dan tahniah kepada seluruh pasukan Citrakala Enterprise serta mentor atas pencapaian cemerlang ini. Semoga kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa UniSZA untuk berani meneroka potensi diri, mencipta peluang dan mengangkat hasil kreativiti ke pentas antarabangsa.












