SELAYANG, 22 November 2026 – Pasukan Pickleball Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam kategori beregu campuran menerusi gandingan Nurul Anis Rokyzal dan Mohd. Afdal Bin Azmi pada Kejohanan Pickleball Sukan Badan Berkanun Malaysia 2026.
Kejohanan yang berlangsung pada 20 hingga 22 November 2026 di Ultra Sports Center, 168 Park Mall, Selayang, Selangor itu menyaksikan penyertaan pelbagai pasukan daripada badan-badan berkanun seluruh Malaysia.
Dalam kategori beregu campuran yang menyaksikan persaingan daripada 27 pasangan, gandingan UUM, Nurul Anis Rokyzal dan Mohd. Afdal Bin Azmi berjaya mengungguli tempat ketiga sekali gus mengharumkan nama universiti dalam penyertaan sulung pasukan pickleball UUM di kejohanan tersebut.

Selain kejayaan itu, pasukan UUM turut menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam kategori lain.
Dalam kategori beregu lelaki yang menerima penyertaan sebanyak 59 pasangan, UUM diwakili oleh Mohd. Iswandi Bin Abdul Wahab dan P.M. Dr. Mohd. Herry Bin Mohd. Nasir.
Sementara itu, dalam kategori beregu veteran lelaki yang melibatkan 60 pasangan, gandingan P.M. Dr. Abd Halim @ Hamilton Ahmad dan P.M. Dr. Izwan Nizal Mohd Shaharanee berjaya menjadi johan kumpulan dan melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik.
Dalam kategori beregu veteran wanita pula, gandingan P.M. Dr. Rahela Abdul Rahim dan Prof. Dr. Noraziah Abdul Manaf berjaya muncul sebagai naib johan kumpulan daripada 27 pasangan yang bertanding, sekali gus melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik.

Menurut P.M. Dr. Rahizam Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pembangunan, Persatuan Pickleball Malaysia, penyertaan pasukan UUM dalam kejohanan ini merupakan satu perkembangan positif kepada pembangunan sukan pickleball di institusi pengajian tinggi. Beliau turut berpandangan bahawa pencapaian pasukan UUM membuktikan potensi sukan pickleball untuk terus dikembangkan, khususnya di negeri-negeri utara Malaysia.
Penyertaan sulung pasukan pickleball UUM dalam Kejohanan Sukan Badan Berkanun Malaysia 2026 ini merupakan satu pengalaman dan pencapaian yang amat bermakna kepada seluruh kontinjen. Kejayaan ini bukan sahaja memperlihatkan keupayaan warga UUM dalam bidang sukan, malah mencerminkan semangat kesukanan, komitmen, kerjasama dan kesepaduan pasukan yang tinggi.

Pencapaian tersebut diharap menjadi pemangkin kepada perkembangan sukan pickleball di UUM serta membuka lebih banyak peluang kepada warga universiti untuk terus aktif, sihat dan menyertai kejohanan sukan pada peringkat yang lebih tinggi.
Tahniah kepada seluruh pasukan Pickleball UUM atas pencapaian membanggakan ini. Semoga kejayaan sulung ini menjadi permulaan kepada lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.














