Advertisement

S4SAR Angkat Permainan Tradisional Baling Selipar, Mahasiswa UniSZA Raih Tempat Pertama DICE 4.0

PUTRAJAYA, 18 November 2026 – Kreativiti mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam mengangkat warisan permainan tradisional ke platform inovasi digital membuahkan kejayaan apabila produk S4SAR berjaya meraih Tempat Pertama dalam kategori Reka Bentuk Perindustrian (Industrial Design) pada pertandingan Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 sempena Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2026.

Kejayaan membanggakan itu dicetuskan oleh mahasiswa UniSZA, Muhammad Azfar Basri, Muhammad Aniq Zharfan bin Mazuki, Muhammad Zaki bin Abdul Hadi dan Muhammad Amir bin Mohd Zamri di bawah seliaan Pusat Kecemerlangan dan Pembangunan Kreativiti (PaKaT) UniSZA menerusi penghasilan S4SAR, sebuah produk inovasi yang mengetengahkan permainan tradisional baling selipar dalam pendekatan lebih kreatif dan bersesuaian dengan perkembangan generasi masa kini.

Menariknya, inovasi ini bukan sekadar membawa elemen permainan dan hiburan, malah menjadi usaha mahasiswa untuk menghidupkan kembali warisan budaya tempatan agar terus dikenali, dihargai dan diwarisi oleh generasi muda.

Pengiktirafan di pentas akhir DICE 4.0 membuktikan mahasiswa UniSZA mempunyai keupayaan untuk menterjemahkan idea kreatif kepada produk inovasi yang mempunyai nilai reka bentuk serta potensi untuk diketengahkan dalam landskap keusahawanan dan inovasi.

Kejayaan Muhammad Azfar dan pasukannya turut memperlihatkan bahawa mahasiswa bukan sekadar penerima ilmu di universiti, sebaliknya mampu menjadi pencetus idea, penggerak kreativiti dan pencipta penyelesaian inovatif yang menghubungkan warisan silam dengan keperluan masa hadapan.

Pencapaian ini sekali gus mencerminkan komitmen UniSZA dalam membangunkan mahasiswa yang holistik, berdaya cipta dan berkeupayaan menghasilkan inovasi berimpak, selain menyumbang kepada usaha memartabatkan warisan budaya negara.

Tahniah pasukan S4SAR! Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi kreatif mahasiswa UniSZA yang mampu mencipta impak serta mengharumkan nama universiti di persada lebih luas.

Total Views: 3