Advertisement

Jalinan Serumpun: From Roots To Routes UUM X USU Perkukuh Jaringan Antarabangsa Melalui Mobiliti Pelajar Dan Kolaborasi CSR – MySiswaNow

Berita dan Gambar oleh INASIS TNB UUM

SINTOK, 19 NOVEMBER 2026 – Inapan Siswa (INASIS) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperluas jaringan antarabangsa menerusi penganjuran Program Jalinan Serumpun: From Roots to Routes UUM x Universitas Sumatera Utara (USU) yang berlangsung selama lima hari empat malam bermula 8 hingga 12 November 2026 di Medan, Sumatera Utara, Indonesia.

Program mobiliti antarabangsa ini dianjurkan oleh Biro Komuniti, Integrasi dan Antarabangsa (BKIA), Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) INASIS TNB dengan melibatkan seramai 17 mahasiswa INASIS TNB bersama 2 orang felo pengiring iaitu En. Mohd Fadzli Bin Suhaimi selaku Pengetua INASIS TNB dan Puan Syazwani Binti Daud selaku Penolong Pengetua, menjadikan keseluruhan delegasi seramai 19 orang. Program ini bertujuan memberikan pendedahan antarabangsa kepada mahasiswa melalui perkongsian ilmu, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), penerokaan kelestarian alam sekitar serta pertukaran budaya antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia.

Penganjuran program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 15: Kehidupan di Darat dan SDG 17: Perkongsian demi Mencapai Matlamat melalui usaha memperkukuh kerjasam akademik, memupuk kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar serta membina hubungan strategik antara kedua-dua institusi.

Perjalanan delegasi bermula pada 8 November 2026 dengan pergerakan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Medan. Ketibaan delegasi UUM disambut oleh pihak Universitas Sumatera Utara sebelum meneruskan perjalanan ke Berastagi yang mengambil masa kira-kira tiga jam. Setibanya di Berastagi, delegasi dibawa menikmati suasana nyaman dan keindahan alam semula jadi di kawasan Pariban. Ketibaan delegasi turut disambut oleh Prof. Dr. Rudy Sofyan, Director of Student Admission and Services, Universitas Sumatera Utara. Delegasi kemudiannya mendaftar masuk di Rudang Hotel and Resort untuk berehat sebelum meneruskan aktiviti pada hari berikutnya.

Pada 9 November 2026, delegasi berpeluang merasai pengalaman agropelancongan menerusi lawatan ke kebun buah limau di sekitar Berastagi. Aktiviti memetik dan menikmati buah limau segar secara langsung memberikan pendedahan kepada mahasiswa tentang hasil pertanian tempatan serta potensi sektor agropelancongan di Indonesia.

Lawatan diteruskan ke Sipiso Piso Waterfall, salah satu tarikan alam semula jadi yang terkenal di Sumatera Utara. Para peserta berpeluang menyaksikan keindahan air terjun yang mengalir dari kawasan perbukitan dengan landskap semula jadi yang memukau. Pengalaman ini memberikan ruang kepada delegasi untuk menghargai keunikan khazanah alam semula jadi serta kepentingan pemeliharaan kawasan pelancongan berasaskan alam sekitar.

Seterusnya, delegasi menikmati makan tengah hari di Sitopsi Restaurant yang menawarkan pemandangan landskap perbukitan yang luas dan indah. Perjalanan diteruskan dengan lawatan ke Gundaling Farmstead bagi melihat sendiri proses pengeluaran produk tenusu seperti susu, keju dan gelato. Para peserta turut diberikan penerangan mengenai pengurusan penternakan lembu tenusu, pemilihan baka lembu tenusu serta pemakanan khusus yang diberikan bagi memastikan kualiti penghasilan produk. Pengalaman tersebut turut dilengkapi dengan sesi menikmati gelato segar yang dihasilkan di ladang berkenaan.

Pada sebelah petang, delegasi meneruskan perjalanan ke Medan dan mendaftar masuk di penginapan yang disediakan berhampiran kawasan kampus Universitas Sumatera Utara sebagai persediaan untuk mengikuti pengisian akademik dan CSR pada hari berikutnya.

Program diteruskan pada 10 November 2026 seawal jam 8.00 pagi menerusi lawatan akademik dan aktiviti CSR di Fakultas Kehutanan, Universitas Sumatera Utara yang terletak kira-kira 30 minit dari kampus utama. Antara pengisian utama ialah aktiviti penanaman pokok sebagai simbol komitmen bersama terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian hutan.

Delegasi turut didedahkan dengan perkongsian ilmu berkaitan kepelbagaian tumbuhan, hasil hutan bukan kayu serta potensi sumber semula jadi seperti buluh. Aktiviti diteruskan dengan penerokaan Arboretum USU menerusi pengalaman healing forest yang memberikan peluang kepada mahasiswa untuk mengenali ekosistem hutan, menikmati persekitaran semula jadi dan memahami kepentingan pemuliharaan biodiversiti.

Menariknya, mahasiswa turut berpeluang menghasilkan produk kreatif seperti penanda buku dan pin tudung menggunakan resin serta bahan berasaskan hasil hutan. Aktiviti ini bukan sahaja menggabungkan elemen kreativiti dan inovasi, malah memperlihatkan potensi sumber semula jadi untuk dimanfaatkan secara lestari. Pengalaman tersebut membuktikan bahawa aktiviti CSR bukan sekadar tertumpu kepada sumbangan kepada komuniti, sebaliknya menjadi medium pembelajaran secara langsung dalam membentuk mahasiswa yang lebih prihatin terhadap alam sekitar. Pada masa yang sama, interaksi sepanjang aktiviti berlangsung turut mewujudkan ruang perkongsian pengetahuan dan mengeratkan hubungan persahabatan antarabangsa antara mahasiswa UUM dan USU.

Pada 11 November 2026, delegasi meneruskan pengisian akademik dengan lawatan ke Fakultas Ekonomi dan Bisnis (FEB), Universitas Sumatera Utara pada jam 8.00 pagi. Sesi tersebut memberi peluang kepada kedua-dua pihak berkongsi pengalaman berkaitan sistem pendidikan tinggi, persekitaran pembelajaran serta kehidupan mahasiswa di Malaysia dan Indonesia.

Delegasi turut diberikan pendedahan mengenai peluang melanjutkan pengajian di USU, termasuk proses permohonan sebagai pelajar pertukaran antarabangsa dan pengajian pascasiswazah. Lawatan sekitar fakulti turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengenali kemudahan akademik dan persekitaran pembelajaran yang disediakan oleh pihak universiti.

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan lawatan ke Fakultas Ilmu Budaya (FIB), Universitas Sumatera Utara. Delegasi diberikan pengenalan mengenai masyarakat dan kebudayaan Batak melalui sesi penerangan serta persembahan kebudayaan oleh mahasiswa USU. Para peserta turut berpeluang menikmati persembahan puisi hasil karya mahasiswa fakulti berkenaan.

Menariknya, sesi perkongsian budaya ini turut membuka perspektif baharu apabila delegasi mengetahui bahawa komuniti berketurunan Batak juga mempunyai hubungan sejarah dan kewujudan dalam masyarakat Malaysia, khususnya di beberapa kawasan seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Perak dan Johor. Komuniti Batak sendiri terdiri daripada pelbagai kelompok etnik termasuk Batak Toba, Karo, Simalungun, Pakpak, Angkola dan Mandailing. Perkongsian ini memperlihatkan persamaan akar budaya serumpun yang menghubungkan masyarakat Malaysia dan Indonesia meskipun dipisahkan oleh sempadan geografi.

Kemuncak program pada sebelah malam diserikan dengan penganjuran Cultural Night Exchange yang menjadi platform utama pertukaran seni dan kebudayaan antara kedua-dua delegasi. Majlis dimulakan dengan ucapan daripada wakil Universitas Sumatera Utara, diikuti ucapan wakil felo pengiring UUM serta Pengarah Program, Maisarah Adlina, yang turut berkongsi dapatan, pengalaman serta penghargaan sepanjang pelaksanaan program mobiliti ini.

Pengarah Program Jalinan Serumpun: From Roots to Routes UUM x USU, Maisarah Adlina, berkata, “Program ini bukan sekadar memberi peluang kepada mahasiswa untuk menimba pengalaman di luar negara, tetapi turut membuka ruang untuk kami memahami perbezaan budaya, berkongsi ilmu dan membina hubungan antarabangsa. Sepanjang lima hari program berlangsung, setiap aktiviti yang dilaksanakan memberikan pengalaman serta pembelajaran tersendiri, khususnya dalam aspek kepimpinan, kerjasama dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat serta alam sekitar.”

Beliau turut menyatakan bahawa pengalaman mengendalikan program mobiliti antarabangsa ini memberikan nilai tambah kepada mahasiswa INASIS TNB dalam membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu. Menurut beliau, hubungan yang terjalin bersama Universitas Sumatera Utara diharap dapat diteruskan melalui peluang kerjasama dan program pertukaran pada masa akan datang.

Majlis diteruskan dengan persembahan kebudayaan daripada kedua-dua delegasi. Delegasi UUM mempersembahkan tarian tradisional, dikir barat serta pantun Melayu sebagai lambang warisan budaya Malaysia. Sementara itu, mahasiswa Fakultas Ilmu Budaya USU turut mempersembahkan nyanyian yang mencerminkan keunikan seni dan identiti budaya Indonesia. Suasana malam kebudayaan ini bukan sahaja menyerlahkan kepelbagaian warisan kedua-dua negara, malah mengukuhkan semangat persaudaraan dan persefahaman antara mahasiswa.

Pada 12 November 2026, delegasi memulakan perjalanan pulang dengan daftar keluar dari penginapan seawal jam 9.00 pagi. Sebelum berangkat ke lapangan terbang, delegasi berkesempatan mengunjungi beberapa lokasi bagi mendapatkan buah tangan dan menikmati produk makanan tradisional tempatan seperti Bika Ambon dan Lapis Legit sebagai kenangan dari bumi Sumatera Utara.

Sekitar jam 11.00 pagi waktu tempatan, delegasi dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu untuk penerbangan pulang ke Malaysia. Keseluruhan delegasi selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang sekitar jam 5.00 petang waktu Malaysia.

Penganjuran Program Jalinan Serumpun: From Roots to Routes UUM x USU membuktikan komitmen INASIS TNB UUM dalam memperkasa pembangunan mahasiswa melalui pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah, khususnya dalam aspek kepimpinan global, kesukarelawanan, tanggungjawab sosial dan pemahaman silang budaya.

Lebih daripada sekadar sebuah program lawatan antarabangsa, inisiatif ini menjadi wadah untuk menghubungkan ilmu pengetahuan, masyarakat dan kelestarian alam sekitar melalui kerjasama dua institusi pendidikan tinggi. Pengalaman yang diperoleh sepanjang program diharap dapat diterjemahkan kepada nilai kepimpinan, kesedaran sosial serta semangat kerjasama dalam kalangan mahasiswa. Menurut Pengetua INASIS TNB, En. Mohd Fadzli, program ini bukan sahaja bertujuan memberikan pendedahan antarabangsa kepada mahasiswa, malah menjadi platform untuk memperkukuh kemahiran kepimpinan, memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar serta mengeratkan hubungan kerjasama dan pertukaran budaya antara UUM dan USU. Beliau turut berharap agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan melalui lebih banyak peluang kolaborasi antarabangsa pada masa hadapan.

Total Views: 56