PUTRAJAYA, 18 November 2026 – Keupayaan mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencipta inovasi digital berteraskan warisan sejarah terus membuahkan hasil apabila pasukan Monoliths Enterprise berjaya meraih Pingat Emas dan Anugerah Khas Syarikat Pemula Berpotensi bernilai RM1,000 dalam Program Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 Peringkat Antarabangsa.
Kejayaan berganda itu diraih dalam Kategori Digital Games Application menerusi produk inovasi “Merong: The Forgotten Kingdom (Educational Roblox)”, sekali gus membuktikan kreativiti dan kebolehan mahasiswa Fakulti Informatik dan Komputeran (FIK), UniSZA Kampus Besut dalam menggabungkan teknologi permainan digital dengan elemen pendidikan dan warisan sejarah.

Lebih membanggakan, kejayaan tersebut digerakkan sepenuhnya oleh empat mahasiswa yang menganggotai Monoliths Enterprise, iaitu Hafizd Rafidi bin Rosley, Nik Aiman Hazriq Mazlan bin Saiful Adli Idzihar, Ahmad Ikram bin Kamalludin dan Muhammad Amirul Rashid bin Amirudin, dengan bimbingan Dr. Nur Saadah binti Mohd Shapri selaku mentor.
Monoliths Enterprise merupakan syarikat pemula niaga (start-up) di bawah UniSZA Digital Hub (UDH) yang menjadi platform kepada mahasiswa untuk mengembangkan idea kreatif, membina produk inovasi serta meneroka potensi keusahawanan dalam industri digital.
Menariknya, penghasilan Merong: The Forgotten Kingdom melalui platform Roblox memperlihatkan bagaimana mahasiswa mampu memanfaatkan teknologi permainan digital sebagai medium pembelajaran interaktif bagi mendekatkan generasi muda dengan sejarah dan warisan. Pendekatan kreatif ini bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih menarik, malah membuka peluang untuk warisan tempatan diketengahkan melalui teknologi masa kini.
Program yang berlangsung pada 16 hingga 19 November 2026 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya itu dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Pusat Kerjaya, Teknousahawan dan Jaringan Pintar (PaKaT), UniSZA.
Bertemakan “WARISAN” dengan tema keseluruhan “From Creative Product to Market-Ready Innovation”, DICE 4.0 menjadi platform penting untuk mahasiswa mengetengahkan hasil kreativiti, menguji potensi inovasi serta meneroka peluang mengembangkan produk ke arah pengkomersialan dan pasaran industri.
Majlis penutupan program turut disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.
Pencapaian Monoliths Enterprise membuktikan mahasiswa UniSZA bukan sekadar berupaya menguasai ilmu teknologi di bilik kuliah, malah mempunyai keberanian untuk menghasilkan inovasi, membangunkan produk berpotensi komersial dan bersaing di peringkat antarabangsa.
Kejayaan meraih dua pengiktirafan dalam satu pertandingan ini diharapkan menjadi pemangkin semangat kepada lebih ramai mahasiswa untuk meneroka bidang teknologi kreatif dan keusahawanan digital, sekali gus menjadikan universiti sebagai medan melahirkan pencipta inovasi serta usahawan muda berdaya saing.
Syabas dan tahniah kepada seluruh pasukan Monoliths Enterprise serta mentor atas kejayaan yang cukup membanggakan ini. Semoga terus melakar kecemerlangan dan mengharumkan nama UniSZA di persada antarabangsa!












