Advertisement

ROS 1.0 : Memperkasa Kemahiran Insaniah dan Empati Mahasiswa Melalui Jaringan Kesukarelawanan Global

Oleh: Lambert Augustine

TANJONG MALIM — Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (MMK KAHS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Unit Bendahari telah mencatatkan satu lagi pencapaian bermakna melalui penganjuran program bertaraf antarabangsa bertajuk Roots Of Service 1.0 (R.O.S): Empowering Service Through Empathy And Purpose. 

Program webinar yang berlangsung menerusi platform Google Meet & siaran langsung di Facebook pada 26 Oktober 2026, telah berjaya mencapai kejayaan yang memberangsangkan, dengan jumlah penyertaan atau tontonan seramai 2,397 orang peserta. Ia terdiri daripada barisan kepimpinan mahasiswa serta pelajar daripada pelbagai Institut Pengajian Tinggi. Inisiatif ini turut melakar penanda aras baharu menerusi kerjasama strategik bersama dua organisasi antarabangsa iaitu Universitas Bina Darma dari Indonesia dan Philippines National Youth Commission dari Filipina.

Sesi fotografi bersama panel jemputan, para peserta dan ahli jawatankuasa.

Program ini telah berlangsung bermula pada jam 8:00 malam hingga 11:00 malam, webinar ini dirangka khusus sebagai platform holistik untuk mendidik generasi belia memahami akar umbi khidmat kemasyarakatan yang tidak sekadar berlandaskan pelaksanaan fizikal semata-mata, malah berteraskan empati sejati serta kejelasan hala tuju.

Perkongsian melalui panel menjelaskan bahawa aktiviti kesukarelawanan yang berimpak tinggi bermula daripada kepekaan jiwa dan dorongan niat yang murni untuk memahami realiti kehidupan masyarakat. Menerusi sesi perbincangan interaktif, para peserta didedahkan dengan strategi untuk mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi berasaskan kearifan emosi, daya tahan kendiri, integriti, serta keupayaan menyelesaikan masalah komuniti secara inklusif dan beretika.

Barisan ahli jawatankuasa bertugas untuk memastikan kelancaran program.

Webinar ini turut melibatkan tiga panel yang berpengalaman dan berkaliber dalam bidang kesukarelawanan.

  1. Dr. Noviria Sukmawati, M.Pd., pensyarah dari Universitas Bina Darma, Indonesia, menyuntik inspirasi menerusi pengalaman lapangan dalam membina hubungan akrab dan empati bersama masyarakat tempatan.
  2. Dr. Nurzaimah binti Asalal, pensyarah Jabatan Pengajian Malaysia UPSI, menekankan peranan krusial mahasiswa sebagai ejen perubahan yang berintegriti serta bertanggungjawab sosial.
  3. Ms. Michelle Ann M. Villanueva selaku Presidential Staff Officer merangkap jurulatih kesihatan mental belia mengupas kepentingan sokongan emosi serta kesejahteraan jiwa dalam melahirkan sukarelawan berdaya tahan tinggi.
Barisan ahli jawatankuasa telah menjayakan Program Webinar “Roots of Service 1.0 (R.O.S): Empowering Service Through Empathy and Purpose”

Selain memupuk nilai kemanusiaan murni, penganjuran webinar ini secara langsung mendukung empat “Matlamat Pembangunan Mampan”. Program ini memfokuskan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui pembangunan literasi kepimpinan belia, SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi) menerusi pemantapan kebolehpasaran graduan berasaskan kemahiran pengurusan, SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Teguh) menerusi penerapan nilai etika kepimpinan, serta SDG 17 (Kerjasama untuk Mencapai Matlamat) hasil jaringan sinergi antarabangsa. Gabungan elemen ini menyediakan peserta dengan kualiti kepimpinan dalam menghadapi kerjaya yang amat dituntut dalam pasaran kerja global.

Total Views: 157