Oleh: Insyirah Zifrin
TANJUNG MALIM, 27 Oktober 2026 – Keindahan warisan nusantara terus diperkasa melalui The Heart of Nusantara: Ancestral Night yang berlangsung dengan meriah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program anjuran Exco Warisan Seni dan Budaya, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 2026/2027 ini bukan sahaja menjadi platform untuk menghargai warisan tradisional, malah turut menyemai kesedaran tentang kepentingan memelihara budaya agar terus diwarisi oleh generasi akan datang.

Program ini turut melibatkan delegasi Brunei daripada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), sekaligus memperkukuh hubungan dan pertukaran budaya antara mahasiswa serantau.
Program ini dimulakan dengan peragaan busana tradisional yang melibatkan Persatuan Ikatan Bahasa Iban, Rentak Pusaka PERMAS, Citra Arjana dan Destar Limar. Peragaan tersebut mengetengahkan keindahan pakaian tradisional yang melambangkan identiti, adat dan nilai budaya masyarakat. Kepelbagaian busana yang ditampilkan bukan sahaja menyerlahkan keunikan warisan serantau, malah memberikan peluang kepada hadirin untuk mengenali serta menghargai kekayaan budaya yang diwarisi turun-temurun.

Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan seni yang merangkumi silat, nyanyian dan tarian tradisional dari kumpulan pelajar berbakat UPSI antaranya Kelab Pencak Silat UPSI, Persatuan Ikatan Bahasa Iban, Rentak Pusaka PERMAS, Citra Arjana dan Destar Limar yang turut mempersembahkan tarian zapin berunsurkan seni tradisional yang unik.
Persembahan nyanyian pula membariskan barisan mahasiswa UPSI antaranya Saudari Ain Fariesha, Saudara Aylord Joy serta gandingan duo Ali Azizi dan Jane Olivia.

Penganjuran program seumpama ini turut memperlihatkan kepentingan usaha berterusan dalam memelihara dan memperkenalkan seni tradisional kepada generasi muda. Dalam arus pemodenan masa kini, warisan budaya perlu terus diketengahkan agar tidak dilupakan atau terhakis oleh perubahan zaman. Melalui penglibatan golongan muda dalam aktiviti kebudayaan, nilai tradisi dapat terus dipupuk, manakala penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dapat diperkukuh dalam masyarakat.

Kemuncak program diserikan dengan sesi curtain call yang menandakan berakhirnya rangkaian pengisian The Heart of Nusantara: Ancestral Night. Sesi tersebut menjadi simbol penghargaan terhadap penglibatan para peserta yang telah memeriahkan pentas dengan kepelbagaian seni dan budaya. Keseluruhan acara berlangsung sebagai wadah untuk mengetengahkan warisan tradisional dalam suasana yang menggabungkan nilai seni, identiti dan kebersamaan.

Secara keseluruhannya, The Heart of Nusantara: Ancestral Night berjaya menjadi platform untuk mengetengahkan keunikan seni dan warisan budaya Nusantara. Penganjuran ini bukan sahaja memberikan ruang kepada para peserta untuk berkongsi bakat dan kreativiti, malah turut meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mempertahankan warisan budaya sebagai lambang identiti masyarakat. Usaha seperti ini diharapkan dapat diteruskan bagi memastikan seni dan budaya Nusantara kekal dihargai, dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.













