Oleh: Dr Shahdatunnaim binti Azmi, Dr. Nor Amalina binti Mohd Sabri
KUALA LUMPUR, 22 September 2026 – Seramai 10 pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai AI Talent Bootcamp 2026 yang berlangsung pada 20 hingga 22 September 2026 di Zecon Hotel dan World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.
Program bertemakan “Empowering Future AI Leaders for Malaysia’s Digital Economy” ini dianjurkan bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), Etiqa, CelcomDigi, PwC dan Flystudio, bersempena University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026.

Penyertaan ini membuka peluang kepada pelajar untuk meneroka aplikasi kecerdasan buatan (AI), mengembangkan idea inovatif serta memahami keperluan bakat dalam ekonomi digital negara.
Antara pengisian utama program termasuk sesi Future AI Talent Needs yang memberi pendedahan tentang keperluan tenaga kerja AI pada masa hadapan. Menerusi AI Masterclass: Generative AI & Prompt Engineering, peserta didedahkan kepada teknik menghasilkan arahan atau prompt yang lebih berkesan dalam penggunaan AI generatif.
Peserta turut berpeluang mengembangkan idea inovatif melalui AI Innovation Challenge serta berinteraksi dengan wakil industri dan mentor menerusi sesi Industry Networking Night.
Bagi memperkukuh kemahiran inovasi dan penyelesaian masalah, peserta mengikuti AI Innovation Workshop: From Idea to Prototype dan Design Thinking for AI Solutions yang memberi penekanan kepada proses pembangunan idea menjadi prototaip.
Pendedahan industri turut diperkaya melalui sesi perkongsian bersama CelcomDigi, Flystudio dan PwC serta lawatan ke URIIS Exhibition Tour yang mempamerkan pelbagai hasil penyelidikan dan inovasi. Melalui AI Innovation Challenge Sprint, peserta berpeluang membangunkan, menguji dan memperkemas penyelesaian kumpulan masing-masing.

Program ini turut mengetengahkan URIIS Opening, Keynote & Plenary Sessions di Merdeka Hall, WTC Kuala Lumpur yang membincangkan hubungan antara penyelidikan, inovasi dan pelaburan dalam ekosistem universiti dan industri.
Kemuncak program menyaksikan penganjuran Final AI Innovation Challenge apabila kumpulan terpilih membentangkan penyelesaian inovatif yang dibangunkan sepanjang program.
Secara keseluruhan, gabungan bengkel, cabaran inovasi dan interaksi industri memberikan pengalaman pembelajaran yang menghubungkan pengetahuan AI dengan proses penyelesaian masalah sebenar.
Penyertaan pelajar UTHM dalam program ini mencerminkan komitmen universiti untuk memperluas pendedahan pelajar terhadap perkembangan teknologi dan keperluan industri.
Pengalaman yang diperoleh turut membuka ruang kepada pelajar untuk meningkatkan keyakinan, memperkukuh kemahiran komunikasi dan mengembangkan pemikiran kreatif melalui kerjasama dalam kumpulan.
Diharapkan penyertaan ini menjadi pemangkin kepada pelajar UTHM untuk terus meneroka potensi teknologi AI, menghasilkan inovasi berimpak serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital negara.















