Advertisement

Pelajar UPSI Takluk Puncak Kinabalu Bersama Warga Universiti

Oleh: Mohd Faiz Zabri

KOTA KINABALU, 4 Ogos 2026 – Seramai 12 warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu menerusi ekspedisi pendakian yang berlangsung pada 3 hingga 4 Ogos 2026.

Ekspedisi yang diketuai oleh Ts. Dr. Megat Azrin bin Ahmad itu disertai tujuh staf dan lima pelajar UPSI, manakala Encik Mohd Zulkhairi bin Baharin bertindak sebagai pengurus ekspedisi.

Lima pelajar UPSI bergambar kenangan

Lima pelajar UPSI yang menyertai ekspedisi tersebut ialah Isaac Venceslaus, Darwis Izzani bin Arsad dan Ammar Nur Aiman bin Abdul Razak dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, serta Mohamad Wafie bin Mohd Fauzal Azli dan Muhammad Fikri bin Abdul Halim dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi.

Kejayaan itu menjadi kemuncak kepada perancangan rapi yang dimulakan sejak Oktober 2025. Sebagai persiapan, para peserta menjalani beberapa siri latihan pendakian di Bukit Kutu, Gunung Nuang, Gunung Angsi dan Gunung Gap Gus.

Latihan secara berperingkat itu bertujuan meningkatkan kecergasan, daya tahan, disiplin serta kesiapsiagaan peserta untuk menghadapi laluan curam, perubahan cuaca dan keadaan altitud tinggi.

Ts. Dr. Megat Azrin (tiga dari kiri) bergambar bersama peserta sebelum memulakan pendakian

Menurut Ts. Dr. Megat Azrin, pendakian bermula pada 3 Ogos dari Timpohon Gate menuju ke kawasan penginapan di Panalaban dengan jarak kira-kira enam kilometer.

“Kami mengambil masa sekitar lima jam untuk tiba di Panalaban. Selepas berehat dan membuat persiapan, pendakian diteruskan pada jam 2.45 pagi pada 4 Ogos menuju ke Low’s Peak yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Panalaban,” katanya.

setelah lima jam, peserta tiba di Panalaban

Beliau berkata, pasukan berjaya tiba di Low’s Peak pada jam 5.40 pagi sebelum memulakan perjalanan turun pada jam 7.00 pagi.

“Selepas kembali ke Panalaban, kami berehat dan membuat persiapan untuk meneruskan perjalanan turun ke Timpohon Gate. Keseluruhan pasukan selamat tiba di pintu masuk itu pada kira-kira jam 4.00 petang,” katanya.

Menurut beliau, perjalanan tersebut menuntut pengurusan tenaga, ketahanan mental dan kerjasama erat dalam kalangan peserta, khususnya ketika melalui laluan berbatu, curam dan mencabar dalam keadaan gelap serta cuaca sejuk.

“Setiap latihan yang dilaksanakan sejak Oktober 2025 memainkan peranan penting dalam membina keyakinan peserta dan memastikan pasukan bersedia menghadapi cabaran sebenar. Ekspedisi ini bukan sekadar menguji kekuatan fizikal, malah turut menuntut kesabaran, disiplin dan keupayaan untuk saling membantu,” katanya.

Sementara itu, Encik Mohd Zulkhairi berkata kejayaan ekspedisi tersebut turut didorong oleh perancangan logistik yang sistematik, pemantauan tahap kecergasan dan pematuhan terhadap aspek keselamatan sepanjang pendakian.

“Setiap peserta menunjukkan komitmen dan disiplin yang tinggi sejak fasa latihan hingga tamat ekspedisi. Kerjasama antara ahli pasukan menjadi kekuatan utama dalam memastikan pendakian dapat diselesaikan dengan selamat,” katanya.

sebahagian peserta bergambar di Puncak Kinabalu

Ekspedisi itu turut memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai pengurusan stamina, komunikasi berpasukan, pengurusan risiko serta kepentingan mematuhi prosedur keselamatan dalam aktiviti rekreasi berimpak tinggi.

Kejayaan lima pelajar bersama warga UPSI menawan puncak Gunung Kinabalu mencerminkan ketahanan fizikal dan mental, di samping memperkukuh hubungan antara pelajar dan staf melalui pengalaman lapangan yang mencabar.