Oleh: Prof. Madya Ts. Dr. Khalid bin Isa
PULAU PANGKOR, 20 Oktober 2026 – Seramai 38 sukarelawan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), terdiri daripada staf dan pelajar, meneruskan misi bantuan pasca banjir di Kampung Cina, Sungai Pinang, Pulau Pangkor, Perak pada hari kedua.
Kawasan yang dibersihkan merangkumi kira-kira 150 buah rumah yang dihuni oleh lebih kurang 600 penduduk. Sukarelawan berganding bahu membersihkan sampah dan sisa yang ditinggalkan banjir, mencuci laluan kampung serta membantu penduduk yang terjejas. Mereka turut membersihkan rumah seorang warga emas dan menyerahkan sumbangan makanan serta barangan keperluan daripada Yayasan UTHM.
Usaha ini memperlihatkan pendidikan yang membina nilai melalui pengalaman dan tindakan. Selaras dengan pendekatan Value-Based Education (VBE) MQA, misi ini mencerminkan nilai altruisme melalui khidmat sukarela demi kesejahteraan komuniti; maruah melalui bantuan yang diberikan dengan penuh hormat kepada penduduk, khususnya warga emas; serta keadilan melalui keprihatinan terhadap keperluan mereka yang terkesan.

Kesediaan sukarelawan turun padang dan bekerjasama turut menggambarkan keberanian untuk bertindak ketika komuniti memerlukan bantuan. Sementara itu, penyampaian sumbangan dengan amanah dan rasa penghargaan terhadap sokongan yang diterima mencerminkan nilai integriti dan kesyukuran.
Pengalaman ini menjadi ruang pembelajaran bermakna buat warga universiti—menghayati nilai kemanusiaan, tanggungjawab sivik dan semangat kebersamaan melalui khidmat kepada masyarakat.
UTHM Prihatin, Komuniti Disantuni.
#UTHM #MisiSukarelawanUTHM #BantuanPascaBanjir #PulauPangkor #KampungCinaSungaiPinang #UTHMPrihatin #SukarelawanSiswa #KomunitiDisantuni #ValueBasedEducation














