Advertisement

Memanah UTeM Raih 3 Emas, 1 Perak dan 1 Gangsa di Kejohanan Memanah Selangor Juniors Siri 2/2026

oleh : Netty Muhalizza Mohd Fadzil

KAJANG — Atlet memanah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali lagi membuktikan kemampuan mereka apabila berjaya meraih tiga pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa dalam Kejohanan Memanah Selangor Juniors Siri 2/2026 yang berlangsung di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAPK) Kajang, Selangor bermula 31 Mei hingga 2 Jun 2026.

Kejayaan tersebut dicapai menerusi prestasi cemerlang atlet-atlet memanah UTeM dalam kategori Barebow dan Compound. Muhammad Hakimi Danish bin Mohd Helmy muncul antara penyumbang utama kejayaan kontinjen apabila meraih dua pingat emas dalam kategori Compound Men Individual (Qualification) dan Compound Men Individual (Elimination).

Muhammad Hakimi Danish bin Mohd Helmy memenangi 2 pingat Emas bagi Kategori Compound Men Individual (Qualification & Elimination)

Sementara itu, Muhammad Zafril Ambia bin Mohammad Nor Afizan berjaya menyumbangkan satu pingat emas dalam kategori Barebow Men Individual (Qualification) dan satu pingat perak dalam kategori Barebow Men Individual (Elimination).

Kejayaan kontinjen UTeM turut dilengkapkan oleh Dayini Nazurah binti Wahib Zafar yang berjaya meraih pingat gangsa dalam kategori Compound Women Individual (Qualification).

Pencapaian membanggakan ini membuktikan bahawa atlet memanah UTeM memiliki keupayaan untuk bersaing secara kompetitif serta menampilkan prestasi cemerlang dalam kejohanan yang disertai. Kejayaan tersebut merupakan hasil komitmen tinggi atlet, jurulatih serta sokongan berterusan universiti dalam memperkasa pembangunan sukan berprestasi tinggi.

Muhammad Zafril Ambia bin Mohammad Nor Afizan memenangi 1pingat Emas dan 1 pingat Perak kategori Barebow Men Individual (Qualification & Elimination)

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM, Profesor Madya Datuk Dr. Sabri bin Mohamad Sharif berkata pencapaian yang diraih membuktikan bahawa mahasiswa UTeM mampu mencapai kecemerlangan bukan sahaja dalam bidang akademik, malah turut menyerlah dalam arena sukan kompetitif.

“Pencapaian ini merupakan satu kebanggaan buat seluruh warga UTeM dan membuktikan bahawa atlet #TUAHTEJA mempunyai disiplin, daya juang serta komitmen yang tinggi dalam mengejar kecemerlangan. Kejayaan ini juga mencerminkan keberkesanan usaha universiti dalam melahirkan mahasiswa yang holistik dan seimbang melalui pembangunan bakat dalam pelbagai bidang.

Lebih membanggakan, kejayaan ini dicapai hasil kesungguhan atlet yang sentiasa berusaha memperbaiki prestasi dan berani mencabar kemampuan diri untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi. Saya percaya pencapaian ini akan menjadi inspirasi kepada seluruh mahasiswa UTeM untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang yang diceburi,” katanya.

Dayini Nazurah binti Wahib Zafar memenangi pingat Gangsa bagi Kategori Compound Women Individual (Qualification)

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para atlet, jurulatih dan pengurusan pasukan atas dedikasi serta komitmen yang ditunjukkan sehingga berjaya mengharumkan nama universiti.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh pasukan memanah UTeM atas kejayaan yang membanggakan ini. Semoga momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan dalam kejohanan-kejohanan akan datang dan seterusnya mengangkat nama UTeM ke peringkat yang lebih tinggi.