Oleh: Ts. Dr. Nur Arzwin binti Mohamed Aris
Kuala Lumpur, 28 Oktober – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi melakar sejarah gemilang apabila delegasinya mempamerkan kecemerlangan yang luar biasa di 12th CIDB-CIOB Youth Arena Convention Malaysia (YACM) 2026. Program berprestij anjuran bersama CIDB dan CIOB ini telah berlangsung dengan jayanya dari 27 hingga 28 Oktober 2026 bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman (DTAR), TAR UMT.
Lebih bermakna, konvensyen yang menghimpunkan bakal peneraju industri binaan ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan. Dalam ucaptamanya, beliau secara tuntas menekankan kepentingan memperkasa modal insan menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi dan berdaya usahawan. Usaha ini disifatkan amat kritikal bagi memastikan industri pembinaan negara kekal berdaya saing, relevan, dan bersedia mendepani arus pemodenan teknologi.

Selari dengan saranan kementerian, YACM pada tahun ini membawa tema “Beyond Reality: Metaverse Revolution” yang mendedahkan para peserta kepada integrasi persekitaran maya 3D, Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), Realiti Maya (VR), dan Realiti Terimbuh (AR). Sepanjang dua hari program, delegasi 15 orang pelajar UTHM terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti berimpak tinggi. Antaranya adalah sesi Industry Forum bertajuk “From BIM to Metaverse: The Next Frontier of Construction Collaboration” yang mengupas evolusi pendigitalan pembinaan bersama barisan panelis terkemuka daripada CIDB, CIOB, IEM, RISM, PAM, REHDA, MBAM, dan mGBC.
Di samping itu, kemahiran holistik delegasi UTHM turut diuji menerusi pelbagai aktiviti berkumpulan dan permainan interaktif yang menuntut semangat kolaborasi, kreativiti, serta penyelesaian masalah. Ruang membina jaringan industri juga dimanfaatkan sepenuhnya menerusi sesi Ice-breaking dan majlis makan malam istimewa, Tomorrow’s Leaders Night. Lebih bernilai, penglibatan dalam program ini turut melayakkan para peserta menerima pendaftaran keahlian pelajar CIOB secara percuma.
Kemuncak kebanggaan buat kontinjen UTHM pada petang penutup konvensyen semestinya detik apabila pelajar mereka dinobatkan sebagai penerima ‘Best Student Award’ Muhammad Fakhrul Irfan Bin Zulbahri dari program Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Pembinaan) dengan Kepujian dan Ng Qian Hui Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian.

Pengiktirafan ini membuktikan bahawa mahasiswa UTHM cemerlang dalam menyahut seruan melahirkan graduan TVET dan pekerja berkemahiran tinggi yang kompeten. Kejayaan di platform YACM 2026 ini bukan sahaja merealisasikan objektif program untuk memupuk profesionalisme dan inovasi, malah mengukuhkan lagi reputasi UTHM sebagai institusi yang sentiasa konsisten melahirkan pemimpin masa hadapan (Tomorrow’s Leaders) yang berwibawa dalam industri alam bina. Syabas dan tahniah kepada seluruh kontinjen UTHM!














