Oleh: Dr. Rosmamalmi binti Mat Nawi
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn
Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program Industry Ready: Internship Placement
Program 2026 1.0 pada 14 Mei 2026 bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah.
Program ini dilaksanakan sebagai platform penting untuk menghubungkan mahasiswa
dengan pihak industri dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Melalui penganjuran program ini, pelajar berpeluang berinteraksi secara langsung dengan wakil
industri, memahami kehendak pasaran kerja semasa serta mendapatkan peluang
penempatan latihan industri yang bersesuaian dengan bidang pengajian mereka.

Sebanyak tujuh buah syarikat telah mengambil bahagian dalam program ini dengan
menjalankan sesi temu duga secara bersemuka bersama para pelajar. Syarikat yang terlibat
ialah Enfrasys Consulting Sdn. Bhd. dari Petaling Jaya, Agmo Tech Sdn. Bhd. dari Petaling
Jaya, Unthreats Sdn. Bhd. dari Petaling Jaya, Findbulous Technology Sdn. Bhd. dari Batu
Pahat, Isianpadu Systems Sdn. Bhd. dari Shah Alam, Power IT Solutions Sdn. Bhd. dari
Ipoh dan Educity Iskandar Sdn. Bhd. dari Johor Bahru.
Sesi temu duga yang bermula seawal jam 9.00 pagi telah disertai oleh seramai 50 orang
pelajar FSKTM yang telah membuat permohonan untuk menjalani latihan industri di syarikat
pilihan masing-masing.

Selain memberi peluang kepada pelajar untuk memperkenalkan diri
dan potensi mereka kepada majikan, sesi ini turut memberi pendedahan mengenai budaya
kerja profesional, kemahiran komunikasi serta jangkaan industri terhadap bakal graduan.
Program tahunan ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Latihan Industri dengan kerjasama
Jawatankuasa Hal Ehwal Pelajar, FSKTM. Inisiatif ini mencerminkan komitmen fakulti dalam
memperkukuh hubungan strategik dengan pihak industri demi menyediakan pengalaman
pembelajaran yang lebih holistik kepada para pelajar.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Prof. Ts. Dr. Mohd. Farhan bin Md. Fudzee, Dekan Fakulti Sains Komputer dan
Teknologi Maklumat.

Penganjuran program seperti ini dilihat mampu meningkatkan keyakinan diri pelajar dalam
menghadapi sesi temu duga sebenar serta membantu mereka membuat persediaan awal
sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Selain itu, penglibatan aktif pihak industri turut
membuka ruang kepada universiti untuk memahami keperluan semasa majikan terhadap
graduan dalam bidang teknologi maklumat dan sains komputer.
Secara keseluruhannya, Industry Ready: Internship Placement Program 2026 1.0 telah
berjaya mencapai objektifnya sebagai medium penghubung antara universiti dan industri.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi
melahirkan graduan yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia memenuhi tuntutan
dunia pekerjaan yang semakin mencabar.













