Advertisement

Lima pelajar FSKTM UTHM raih tempat ketiga pertandingan Innovate & Pitch withAlumni 2026 di UTeM

Oleh: Dr. Muhammad Nazim Razali, En. Mohd Haziq Asyraff Razali

MELAKA, 10 Oktober 2026 – Lima pelajar Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mengharumkan nama universiti apabila meraih tempat ketiga dalam pertandingan Innovate & Pitch with Alumni 2026 yang berlangsung di Bangunan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM), Kampus Induk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Kejayaan tersebut melayakkan pasukan FSKTM UTHM menerima Anugerah Gangsa (Bronze Award) berserta hadiah wang tunai sebanyak RM500 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka dalam pertandingan pembentangan idea dan inovasi berkenaan.

Pasukan tersebut diketuai oleh Siti Nuratiqah Adryiana binti Mohammad Adli bersama empat ahli kumpulan, iaitu Muhammad Haziq Farhan bin Nordin, Muhammad Khairul Ibad bin Jima’ain, Muhammad Danial bin Shaharuddin dan Muhammad Qaid Uqail bin Khairul Anuar.

Pertandingan Innovate & Pitch with Alumni merupakan antara pengisian program Alumni Back to Campus @ UTeM 2026 yang diadakan bersempena Majlis Peluncuran Alumni Back to Campus Peringkat Nasional pada 10 Oktober 2026.

Program anjuran UTeM itu bertujuan mengeratkan hubungan antara alumni dan komuniti universiti, di samping menyediakan platform perkongsian pengalaman, kepakaran, inovasi serta pembangunan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.

Menerusi pertandingan tersebut, para peserta berpeluang mengetengahkan idea dan inovasi melalui sesi pembentangan atau pitching serta mendapatkan pandangan daripada alumni yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang berkaitan.

Pendekatan ini memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang kepentingan menghubungkan pengetahuan akademik dengan keperluan industri, sekali gus membantu memperkukuh kemahiran komunikasi, pemikiran kritis, kreativiti dan keusahawanan.

Selain pertandingan inovasi, program Alumni Back to Campus @ UTeM 2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk Alumni Sharing Session, Alumni Entrepreneurship Showcase dan Alumni Inspire Talk sebagai medium perkongsian ilmu serta pengalaman antara alumni dengan generasi mahasiswa.

Pencapaian pasukan FSKTM UTHM ini memperlihatkan potensi mahasiswa dalam mengetengahkan idea inovatif dan bersaing dalam platform keusahawanan serta inovasi di luar universiti.

Kejayaan tersebut juga selari dengan aspirasi UTHM ke arah Global Technopreneur University 2030 (GTU 2030) yang menekankan pembudayaan inovasi, penerapan teknologi dan pengukuhan ekosistem keusahawanan dalam melahirkan graduan yang kreatif, berdaya saing serta berkeupayaan mentransformasikan pengetahuan kepada penyelesaian inovatif yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.

Diharapkan pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai mahasiswa FSKTM untuk melibatkan diri secara aktif dalam pertandingan inovasi dan keusahawanan pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, sekali gus menyokong usaha UTHM melahirkan generasi teknousahawan yang berdaya saing di peringkat global.

Total Views: 68