Oleh: Tuan Aminatulnazirah binti Tuan Arif Sahibu Fadilah
KUALA NERUS, 27 September 2026 – Langkah pertama mahasiswa baharu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi sesi akademik 2026/2027 disambut penuh mesra apabila Naib Canselor UMT, Profesor Dr. Suriyani binti Muhamad, bersama barisan pengurusan universiti serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, turun padang meninjau perjalanan proses pendaftaran mahasiswa baharu.

Kunjungan ke Dewan Sultan Mizan dan Kolej Kediaman UMT itu bukan sekadar bertujuan memastikan kelancaran proses pendaftaran, malah menjadi wadah bagi pengurusan universiti mendekati mahasiswa serta ibu bapa yang hadir bagi mengiringi anak-anak mereka memulakan lembaran baharu dalam kehidupan.
Dalam suasana penuh kemeriahan, Profesor Dr. Suriyani turut meluangkan masa untuk menyantuni dan berinteraksi secara langsung dengan mahasiswa baharu serta keluarga yang hadir. Beliau turut menitipkan kata-kata semangat agar mahasiswa memulakan perjalanan akademik di UMT dengan penuh keyakinan, kesungguhan dan tekad untuk mencapai kejayaan.

Menurut beliau, kehidupan di universiti bukan semata-mata berkisar kepada pencapaian akademik, sebaliknya merupakan satu fasa penting dalam pembentukan jati diri, kepimpinan, sahsiah, kemahiran serta pengalaman mahasiswa.
Sehubungan itu, mahasiswa baharu digalakkan untuk memanfaatkan sepenuhnya pelbagai peluang yang disediakan oleh UMT melalui penglibatan dalam aktiviti kepimpinan, kesukarelawanan, kokurikulum, keusahawanan, sukan dan pembangunan bakat.

Dalam masa yang sama, aspek kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa terus diberikan keutamaan bagi memastikan setiap mahasiswa mendapat sokongan yang sewajarnya serta menikmati pengalaman kehidupan kampus yang positif sepanjang tempoh pengajian.
Kehadiran barisan pengurusan universiti secara langsung pada hari pendaftaran turut mencerminkan komitmen UMT untuk sentiasa berada dekat dengan mahasiswa, mendengar suara mereka serta memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi, khususnya ketika mereka melangkah ke fasa baharu sebagai warga universiti.

Pendekatan turun padang seperti ini memperlihatkan bahawa hubungan antara pengurusan universiti dan mahasiswa bukan sekadar bersifat pentadbiran, tetapi turut berteraskan nilai kebersamaan, keprihatinan dan kekeluargaan.
Selamat datang mahasiswa baharu ke keluarga besar Universiti Malaysia Terengganu.
Hari ini langkah pertama.
Esok, kisah kejayaan akan bermula.












