Advertisement

Kunjungan Kasih MMK KAB: Menemani Dalam Sebuah Kehilangan

oleh Shakila Mohd Idris

TUMPAT, 18 Ogos – Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), Kolej Aminuddin Baki (KAB) telah mengadakan kunjungan ziarah ke kediaman mantan Yang di-Pertua (YDP) MMK KAB, Tengku Ahmad Baihaqi Tengku Baharom di Tumpat, Kelantan, bagi menyampaikan sokongan moral berikutan pemergian ayahanda beliau baru-baru ini.

Kunjungan tersebut menjadi wadah menyampaikan rasa kebersamaan warga KAB kepada beliau sekeluarga yang sedang melalui detik dukacita. Dalam ziarah berkenaan, pihak MMK turut menyerahkan sumbangan hasil kutipan solidariti daripada penghuni kolej dan barisan kepimpinan MMK.

‘Kita tidak pernah benar-benar kehilangan insan yang kita cintai; mereka terus hidu dalam doa, dalam kenangan dan dalam setiap kebaikan yang kita teruskan’ nasihat Pengetua Kolej kepada Tengku

Sumbangan berkenaan telah disampaikan terus oleh Pengetua KAB, Encik Zulkifli Mamat. Beliau menegaskan bahawa bantuan tersebut merupakan lambang keperhatinan seluruh warga kolej terhadap kebajikan pelajarnya.

“Sumbangan yang dihulurkan ini mungkin tidak dapat mengubat duka sepenuhnya, namun ia adalah manifestasi kasih sayang dan keprihatinan seluruh warga KAB agar Tengku tahu bahawa beliau tidak berseorangan menghadapi ujian ini.

Seluruh warga kolej amat menghargai jasa dan bakti yang telah disumbangkan oleh Tengku Ahmad Baihaqi. Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah menunjukkan kepimpinan yang berkaliber serta memberi sumbangan yang sangat signifikan dalam pembangunan sahsiah dan sahsiah terpuji pelajar KAB. Beliau merupakan teladan yang baik buat mahasiswa lain,” ujar Encik Zulkifli.

Tengku Ahmad Baihaqi merupakan pelajar semester enam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) dan pernah menerajui MMK KAB sebagai YDP bagi sidang 2025/2026.

Seluruh warga Kolej Aminuddin Baki merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahziah kepada beliau sekeluarga dan mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman serta beramal soleh.