Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK – Kejayaan alumni yang menduduki posisi penting dalam bidang perniagaan, korporat, pentadbiran kerajaan, pasukan keselamatan dan bidang profesional menjadi bukti betapa Universiti Utara Malaysia (UUM) memainkan peranan penting melahirkan insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pencapaian alumni bukan sahaja menjadi kebanggaan universiti, malah mencerminkan keberkesanan pendidikan dan pembangunan insan yang diterapkan sepanjang tempoh pengajian di universiti.
Menurutnya, pengiktirafan terhadap tokoh alumni menerusi Anugerah Tokoh Maulidur Rasul merupakan manifestasi penghargaan universiti terhadap sumbangan serta khidmat bakti yang dicurahkan kepada masyarakat dan negara.

“Apabila ada alumni kita yang menduduki tempat-tempat tertinggi sama ada dalam politik, kerajaan, sektor swasta atau perniagaan, ia menunjukkan universiti telah melakukan sesuatu sehingga mereka mampu mencapai kejayaan cemerlang dan gemilang dalam kerjaya masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026 dan Perhimpunan Bulanan UUM yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan serta Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid.
Menurutnya, kehadiran kedua-dua tokoh berkenaan yang juga merupakan alumni UUM memberi makna besar kepada warga universiti, khususnya pelajar yang boleh menjadikan perjalanan kerjaya mereka sebagai inspirasi dan teladan.
“Sebagai seorang alumni, sudah tentu kejayaan mereka dalam bidang masing-masing merupakan satu perkara yang sangat kita hargai. Kita berharap pelajar menjadikan tokoh-tokoh alumni ini sebagai panduan dan teladan untuk diikuti pada masa akan datang,” katanya di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan yang tetap meluangkan masa menghadiri majlis berkenaan meskipun Dewan Rakyat sedang bersidang.
Beliau berkata. kesudian tokoh alumni itu bersama-sama warga UUM membuktikan hubungan erat antara alumni dengan alma mater terus dipelihara.
Sementara itu, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid turut menjadi antara tokoh yang diberi pengiktirafan pada majlis berkenaan selepas dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

Beliau yang merupakan alumni Ijazah Sarjana Muda Ekonomi UUM, memulakan pengajian dari Tanah Merah sebelum meneruskan pengajian di kampus Sintok.
“Ini satu kebanggaan yang sangat besar ertinya kepada warga UUM kerana beliau merupakan alumni kita yang kini menduduki kedudukan tertinggi dalam pasukan keselamatan negara,” katanya.
Selain tokoh alumni, UUM turut mengiktiraf warga universiti yang telah memberikan sumbangan cemerlang, termasuk Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM, Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali dan pensyarah bidang agribusiness, Dr Hartinee Abbas yang mencipta baja organik dan berjaya mendapat pengiktirafan berkaitan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang dan agensi berkaitan.
Menurutnya, pencapaian warga akademik berkenaan membuktikan bahawa warga UUM mempunyai potensi besar untuk menyerlah bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah di pentas antarabangsa sekiranya diberikan ruang dan peluang.

“Pengiktirafan ini mungkin kecil maknanya bagi mereka, tetapi sumbangan dan jasa bakti mereka besar maknanya kepada seluruh warga UUM.
“Kita berharap kejayaan tokoh-tokoh yang menerima pengiktirafan pada pagi ini menjadi ikutan dan teladan kepada semua,” katanya.
Beliau berkata, semangat sambutan Maulidur Rasul juga wajar diterjemahkan melalui usaha menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan dalam membentuk peribadi, kepimpinan dan kehidupan seharian.
Katanya, nilai kepimpinan, akhlak dan keteladanan Rasulullah SAW perlu terus dihayati bukan sahaja dalam kehidupan peribadi, tetapi turut diterapkan dalam tugas sebagai penjawat awam, warga akademik, pelajar serta anggota masyarakat.

“Apabila kita menyambut Maulidur Rasul, kita jadikan Rasulullah SAW sebagai tokoh teladan untuk kita ikuti tingkah laku dan nilai yang ingin kita laksanakan dalam kehidupan, sama ada sebagai penjawat awam mahupun pekerja,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul UUM 2026 atas sumbangan kepada universiti, masyarakat dan negara.
Menurutnya, pengiktirafan berkenaan diharapkan dapat menyemarakkan budaya kecemerlangan dalam kalangan warga universiti, sekali gus mendorong lebih ramai warga UUM untuk mencipta kejayaan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
“Semoga kejayaan mereka menjadi ikutan kepada kita semua dan menjadi inspirasi untuk kita turut berjaya dalam bidang masing-masing,” katanya.












