Oleh: Cik Siti Haslinda binti Mukhtar, Prof. Madya Dr. Muhaini binti Othman
SERDANG, 23 Oktober 2026 – Kelab Teknologi Maklumat (Information Technology Club, ITC), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memperkukuh pengurusan organisasi pelajar, berkongsi amalan terbaik serta meneroka peluang kerjasama antara kedua-dua institusi.
Lawatan yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang itu disertai oleh seramai 24 orang ahli jawatankuasa ITC dengan diiringi oleh 2 orang pensyarah FSKTM UTHM iaitu Prof. Madya Dr. Muhaini binti Othman serta Cik Siti Haslinda binti Mukhtar.

Program tersebut memberi tumpuan kepada sesi perkongsian bersama Computer Science and Information Technology Student Representative Council, iaitu Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UPM, khususnya dalam aspek pengurusan organisasi, perancangan aktiviti dan pembangunan kepimpinan mahasiswa.
Melalui sesi penanda aras tersebut, delegasi UTHM berpeluang memahami struktur organisasi Council yang lebih meluas dengan penglibatan pelbagai kumpulan pelajar mengikut program pengajian.
Pendekatan ini memberikan pendedahan kepada ahli jawatankuasa ITC mengenai amalan pengurusan organisasi yang boleh dijadikan rujukan bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran dan penyelarasan aktiviti kelab.
Selain itu, sesi pertukaran idea dan pengalaman turut diadakan bagi membincangkan cabaran pengurusan organisasi, strategi meningkatkan penglibatan ahli serta pendekatan penganjuran program yang lebih berkesan.
Perkongsian ini membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka kaedah pengurusan yang lebih sistematik dan inovatif.
Program turut merangkumi aktiviti suai kenal (ice breaking) bagi menggalakkan interaksi dan mengeratkan hubungan antara peserta UTHM dengan wakil Council.
Delegasi UTHM juga berpeluang melawat sekitar FSKTM UPM dengan bimbingan fasilitator bagi mengenali persekitaran pembelajaran dan kemudahan yang disediakan kepada mahasiswa.
Di samping itu, sesi jaringan kerjasama yang diadakan membuka ruang perbincangan mengenai potensi penganjuran program bersama, pertukaran pengetahuan serta pelaksanaan aktiviti pembangunan kepimpinan mahasiswa pada masa hadapan.
Penganjuran program ini juga selari dengan aspirasi UTHM ke arah Global Technopreneur University 2030 (GTU2030), khususnya melalui fungsi UTHM Edu-Train yang menekankan pembangunan graduan kompeten, profesional dan berdaya keusahawanan.
Pendedahan kepada amalan pengurusan organisasi serta perkongsian pengalaman antara institusi turut menyokong pembudayaan tadbir urus yang baik sejajar dengan fungsi UTHM Governance.
Secara keseluruhannya, lawatan penanda aras ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada penambahbaikan pengurusan ITC FSKTM UTHM, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara mahasiswa kedua-dua universiti.
Inisiatif ini turut menyumbang kepada usaha melahirkan graduan yang berketerampilan, berdaya saing serta memiliki kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan seiring dengan aspirasi GTU2030.














