Advertisement

HITS 2026 himpun 1,000 peserta, perkasa bakat dan inovasi mahasiswa UTHM

Oleh: Encik Mohd Khairul Naser Bin Ibrahim

BATU PAHAT, 27 Oktober 2026 – Hussein Innovation & Talent Symposium 2026 (HITS 2026) menghimpunkan 1,000 peserta dari dalam dan luar negara menerusi lima program yang mengetengahkan inovasi, kemahiran digital, pengucapan awam dan bakat mahasiswa.

Program anjuran Pusat Pembangunan Pelajar (PBP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM itu berlangsung pada 26 dan 27 Oktober 2026 di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM. Bertemakan “Memacu Bakat dan Inovasi untuk Kelestarian Masa Hadapan”, HITS 2026 memberi ruang kepada mahasiswa mengasah bakat dan menghayati nilai GRITT melalui pengalaman di luar bilik kuliah.

International Undergraduate Innovation Competition (IUIC) merekodkan 144 penyertaan daripada 31 institusi, termasuk empat institusi dari India, Indonesia dan Iraq, dengan penilaian oleh 67 juri daripada 15 organisasi. Sebanyak 23 anugerah khas, termasuk tiga anugerah utama, disumbangkan oleh 13 rakan strategik untuk para pemenang IUIC.

Hussein Digital Skills Competition (HDSC), dengan sokongan ICDL Asia, menguji kecekapan peserta menggunakan perisian digital yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.

Suara Cendekia mengetengahkan bakat pengucapan awam menerusi Pertandingan Debat Bahasa Melayu Piala Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Piala Naib Canselor. Sayembara Pantun Teknologi Era Baharu (SUTERA) mengangkat tema teknologi menerusi seni berpantun, manakala UI Fest menampilkan pertandingan bakat, pertandingan nyanyian Battle of Voice serta pameran kelab dan organisasi pelajar.

Dalam ucapan alu-aluannya, Naib Canselor UTHM, Prof. Ts. Dr. Mas Fawzi bin Mohd Ali, berkata penganjuran HITS 2026 memberi peluang kepada lebih 200 mahasiswa dari Kampus Induk Parit Raja dan Kampus Cawangan Pagoh untuk mengasah kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan sebagai ahli jawatankuasa pelaksana.

HITS 2026 turut menerima tajaan wang tunai berjumlah RM12,300 daripada Dewan Bahasa dan Pustaka serta Sutera Wedding Planner, di samping sumbangan hadiah, baucar dan kepakaran daripada rakan strategik.

Majlis Perasmian Penutup HITS 2026 disempurnakan oleh Datuk Md Jais bin Haji Sarday, Ahli Lembaga Pengarah UTHM yang mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti. Majlis itu turut dihadiri Naib Canselor UTHM dan barisan pegawai kanan universiti bagi meraikan pencapaian para peserta.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Md Jais berharap idea inovasi yang berpotensi daripada pertandingan itu terus dibimbing ke arah pembangunan produk, keusahawanan dan pengkomersialan.

Penganjuran HITS diharap dapat terus membuka peluang kepada mahasiswa untuk mengembangkan bakat dan menguji idea baharu, di samping memperkukuh jaringan kerjasama UTHM dengan institusi pendidikan serta rakan industri di dalam dan luar negara.

Total Views: 18