Advertisement

HEP UiTM Santuni Pelajar Baharu pada Hari Pendaftaran

Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien

SHAH ALAM, 23 September 2026 – Hari pertama pendaftaran pelajar baharu Sesi Akademik Oktober 2026 – Februari 2027 (20264) turut menjadi ruang buat Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) mendekati mahasiswa yang memerlukan perhatian dan sokongan dalam memulakan kehidupan baharu mereka di menara gading.

Antara yang disantuni ialah Zarina Maisarah Masreh, pelajar Semester 1 program Sarjana Muda Pengurusan Sukan (Kepujian), Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, yang ditempatkan di Kolej Kediaman Mawar, UiTM Shah Alam.

Zarina Maisarah (tengah) ketika sesi santunan bersama wakil HEP UiTM dan PRHP sempena hari pertama pendaftaran pelajar baharu.

Zarina merupakan anak ketiga daripada empat orang adik-beradik dan kini berada di bawah tanggungan ibunya yang menjadi sumber utama pendapatan keluarga. Beliau merupakan salah seorang pelajar yang dikenal pasti sebagai yang memerlukan sokongan bagi membantu meringankan keperluan pada peringkat awal pengajian.

Dalam kesibukan suasana pendaftaran, Pengarah Bahagian Pentadbiran Strategik dan Sumber Manusia, Encik Mohd Rizal Nordin yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), meluangkan masa bertemu dan bertanya khabar serta melihat sendiri keperluan pelajar berkenaan.

Sesi berkenaan turut disertai oleh Pengarah Pusat Residensi dan Hospitaliti Pelajar (PRHP), Puan Hajah. Ikhwana Misnan.

Mohd Rizal (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Zarina Maisarah bagi membantu meringankan beban yang ditanggungnya.

Sebagai sebahagian daripada usaha membantu pelajar memulakan pengajian dengan lebih baik, Zarina turut menerima sumbangan daripada Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) UiTM bagi meringankan keperluannya sepanjang tempoh awal berada di kampus.

Usaha tersebut mencerminkan komitmen HEP UiTM untuk memastikan kebajikan mahasiswa terus diberikan perhatian, khususnya kepada pelajar yang memerlukan sokongan ketika memulakan fasa baharu kehidupan sebagai warga universiti.

Sesi ramah mesra bersama Zarina Maisarah bagi mendapatkan maklumat mengenai keperluan dan kebajikannya dalam memulakan kehidupan sebagai mahasiswa UiTM.

Total Views: 12